MARA Perkasa Akses Pendidikan Tinggi Dan TVET

BENTONG, 5 Nov – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus mempergiat usaha memperluas akses pendidikan tinggi dan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan anak muda, khususnya di kawasan luar bandar, menerusi pelaksanaan Program Jelajah Pahang 1st, Pendidikan Tinggi & TVET MARA 2026 Peringkat Parlimen Bentong.

Program yang berlangsung di Dewan Penjara, Kompleks Penjara Bentong itu disertai Pengerusi MARA merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bersama anak-anak muda serta ibu bapa di Parlimen Bentong, semalam.

Inisiatif anjuran bersama Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) itu menjadi platform penting untuk mendekatkan ekosistem pendidikan MARA kepada masyarakat, selain memastikan lebih ramai generasi muda mendapat akses kepada maklumat dan peluang melanjutkan pengajian.

Dr Asyraf Wajdi berkata, MARA tidak mahu ada anak muda yang terpaksa melupakan impian melanjutkan pengajian hanya disebabkan kekurangan maklumat, pendedahan atau pengetahuan mengenai peluang pendidikan yang tersedia.

“Kita tidak mahu ada anak-anak muda, khususnya di kawasan luar bandar, yang tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian hanya kerana mereka tidak mendapat maklumat dan pendedahan yang sewajarnya.

“Sebab itu MARA mengambil pendekatan turun padang melalui program jelajah seperti ini bagi membawa peluang pendidikan lebih dekat kepada masyarakat, sekali gus memastikan setiap anak muda mengetahui laluan dan pilihan yang tersedia untuk membina masa depan mereka,” katanya.

Menerusi program berkenaan, pelajar dan ibu bapa berpeluang mendapatkan penerangan secara langsung mengenai institusi pendidikan MARA, pilihan kursus, syarat kemasukan, laluan pengajian TVET serta pelbagai bentuk bantuan dan pembiayaan pendidikan yang disediakan.

Pendekatan turun padang ini juga membolehkan MARA mengenal pasti keperluan serta cabaran yang dihadapi masyarakat dalam mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti, khususnya bagi golongan keluarga berpendapatan rendah dan komuniti di luar bandar.

MARA turut memberi penekanan kepada bidang TVET sebagai antara laluan penting melahirkan tenaga kerja mahir dan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan MARA untuk memastikan pembangunan pendidikan tidak hanya tertumpu kepada penyediaan peluang pengajian, tetapi turut merangkumi pembinaan kemahiran, peningkatan kompetensi dan penyediaan laluan kerjaya yang lebih luas kepada generasi muda.

“MARA akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin mobiliti sosial melalui pendidikan. Kita mahu memastikan anak-anak muda di Pahang, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, mempunyai peluang yang adil untuk melanjutkan pengajian, menguasai kemahiran dan seterusnya membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Melalui Jelajah Pahang 1st, Pendidikan Tinggi & TVET MARA 2026, MARA komited memperluas jangkauan perkhidmatannya agar setiap peluang dalam ekosistem pendidikan MARA dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda demi melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO