PRN Melaka: Calon Tempatan, Jentera Mantap Kelebihan BN – Suhaimizan

TABOH NANING, 5 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berpandangan, jentera Barisan Nasional (BN) yang digerakkan lebih awal antara kekuatan penting dalam memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.

Menurutnya, pergerakan jentera parti termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri telah memulakan tugas lebih awal membuktikan kesungguhan BN dalam menyusun strategi serta mendekati pengundi di peringkat akar umbi.

“Di Taboh Naning, kita melihat gerak kerja sudah bermula lebih awal. Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri juga telah bergerak menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan jentera parti benar-benar bersedia.

“Kita juga tidak terlalu bimbang kerana calon yang diketengahkan merupakan calon tempatan dan penyandang sebelum ini. Insya-Allah, beliau mempunyai kelebihan untuk terus mendapat kepercayaan serta sokongan masyarakat di Taboh Naning.

“BN juga mempunyai kelebihan menerusi pemilihan calon tempatan yang memahami denyut nadi masyarakat setempat, selain mempunyai pengalaman sebagai penyandang sebelum ini,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Suhaimizan yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia berkata, kelompok pengundi muda yang semakin besar di Melaka meletakkan tanggungjawab lebih berat kepada Pemuda UMNO untuk memastikan golongan itu tidak terpinggir daripada arus perjuangan parti.

“Ini merupakan tugas besar khususnya kepada Pemuda UMNO. Kita perlu bekerja lebih keras mendekati anak muda, memahami kehendak mereka dan memastikan suara golongan ini diberikan perhatian.

“Kita akan terus menggerakkan jentera Pemuda untuk mendekati anak-anak muda di Taboh Naning dan seluruh Melaka. Berdasarkan perkembangan yang kita lihat, sokongan anak muda terhadap BN adalah positif dan kita mahu momentum ini terus diperkukuhkan,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tampin, kerjasama antara kepimpinan parti, jentera Pemuda dan komuniti belia perlu diteruskan bagi memastikan setiap kempen serta program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Pemuda dan golongan belia di sini perlu terus didekati. Kita mahu mereka bersama-sama menjayakan kempen serta program parti di peringkat DUN Taboh Naning dan seluruh Melaka.

“Insya-Allah, dengan gerak kerja tersusun, pendekatan berterusan dan sokongan semua jentera, kita yakin usaha memperkukuh sokongan terhadap BN dapat diteruskan,” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO