Memelihara Integriti Ummah & Memperkasa Tadbir Urus Halal Negara

Di Sebalik Kejutan di Puchong: Mengembalikan Keyakinan Rakyat Terhadap Integriti Halal Melalui Reformasi Sistemik

Pendedahan menerusi Ops Taring Chiller di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, baru-baru ini menggoncang masyarakat dan menimbulkan persoalan serius terhadap integriti rantaian bekalan halal negara. Penemuan lebih 6.5 tan ayam mentah bernilai RM85,400 serta penggunaan kaedah kejutan elektrik (water-bath stunning) berkapasiti tinggi yang membunuh ayam sebelum disembelih amat membimbangkan. Lebih kritikal, premis berkapasiti memproses 40,000 ekor ayam sehari ini dipercayai beroperasi lebih 20 tahun dan pernah menerima teguran berulang daripada pihak berkuasa.

Persoalan utama bukan sekadar bagaimana premis meragukan ini mampu bertahan dua dekad, tetapi mengapa mekanisme pemantauan sedia ada gagal menghalangnya? Ini bukan lagi sekadar isu Prosedur Operasi Standard (SOP), melainkan menyentuh amanah, hukum Syarak, dan hak pengguna Muslim. Perkara ini perlu dipandang serius dan UMNO tidak akan membiarkan ketamakan komersial menjejaskan ekosistem halal negara. Kita mesti beralih daripada tindakan reaktif kepada reformasi sistemik.

KELEMAHAN SISTEMIK: DI MANA KITA TELAH GAGAL?
Insiden Puchong mendedahkan empat kelonggaran utama dalam sistem kawal selia negara:

Jurang Pensijilan dan Operasi: Pensijilan halal berasaskan permohonan sukarela menyebabkan aktiviti sembelihan komersial berisiko tinggi terlepas daripada pemantauan Syariah secara berkala apabila pengusaha memilih untuk tidak memohon sijil rasmi.

Penguatkuasaan Terpisah (Silos): Tindakan yang terpisah antara JAKIM, JAIN, JPV, KPDN, PBT, dan PDRM menyulitkan penyelarasan. Notis amaran tanpa tindakan susulan bersepadu gagal menghasilkan pematuhan berkesan.

Kepercayaan Tanpa Pengesahan: Pembeli komersial kerap bergantung pada andaian pemilikan individu Muslim atau reputasi pembekal tanpa menyemak dokumentasi dan rekod rantaian bekalan yang boleh diaudit.

Ketiadaan Kebolehjejak Menyeluruh: Tiadanya sistem jejak bersepadu menyukarkan usaha mengesan pergerakan bekalan dan mengenalpasti rangkaian pengedaran apabila berlaku pelanggaran.

ENAM REFORMASI UTAMA EKOSISTEM HALAL MALAYSIA
Bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang, UMNO mendesak Kerajaan melaksanakan enam langkah reformasi strategik:

1. Mewajibkan Pengesahan Pematuhan Halal bagi Rumah Sembelihan Komersial
Semua rumah sembelihan komersial yang membekalkan daging kepada pasaran pengguna Muslim wajib mempunyai pengesahan pematuhan halal melalui audit Syariah dan pemeriksaan teknikal JPV. Pematuhan ini mesti dijadikan syarat mutlak pembaharuan lesen operasi PBT dengan sokongan pemeriksaan berkala berasaskan profil risiko.

2. Menubuhkan Pusat Koordinasi Penguatkuasaan Halal Nasional
Wujudkan mekanisme koordinasi tetap melibatakan JAKIM, JAIN, JPV, KPDN, PBT, dan PDRM. Pusat ini akan mengurus pangkalan data bersama, berkongsi risikan, menetapkan prosedur eskalasi kesalahan, dan memastikan setiap notis amaran disusuli tindakan penutupan atau pendakwaan yang berkesan.

3. Membangunkan Sistem Kebolehjejak Halal Digital Nasional (Farm-to-Fork)
Bangunkan sistem kebolehjejak digital berasaskan kod QR dan pangkalan data rasmi. Sistem ini menghubungkan rantaian daripada ladang, rumah sembelihan, sehingga ke restoran dan pengguna. Ia membolehkan status pensijilan disemak secara masa nyata dan pergerakan kelompok bekalan dijejaki dengan pantas.

4. Mewajibkan Pemantauan Pintar pada Peralatan Sembelihan
Pemasangan sensor automatik bertanda jaminan pada mesin water-bath stunning wajib dilaksanakan untuk memantau arus, voltan, dan tempoh kejutan. Sistem mesti diprogramkan untuk menghentikan operasi secara automatik dan menghantar amaran digital kepada penguat kuasa sekiranya parameter melebihi had yang dibenarkan Syarak.

5. Ketelusan Rantaian Bekalan dan Paparan Sijil Pembekal di Premis
Tanggungjawab integriti halal perlu dikongsi oleh pembeli komersial. Pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah mewajibkan semua premis makanan dan restoran mempamerkan sijil pembekal daging rasmi dan rekod sumber bekalan secara terbuka di premis masing-masing. Pelanggan berhak mendapat bukti pengesahan yang jelas sebelum menikmati hidangan.

6. Memperketat Hukuman dan AKAUNTABILITI Jenayah
Pinda Akta Perihal Dagangan 2011 dan perundangan berkaitan untuk mengenakan hukuman lebih berat, denda mengikut skala keuntungan haram, pelucuthakan aset, serta pendakwaan terhadap pengurusan syarikat yang terlibat secara sengaja. Perlindungan pemberi maklumat (whistleblower) juga perlu diperkukuh.

MEMPERTAHANKAN MARUAH HALAL MALAYSIA
Jenama Halal Malaysia adalah aset strategik negara yang dibangunkan berdekad-dekad dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kejayaan Ops Taring Chiller tidak harus diukur berdasarkan jumlah rampasan semata-mata, sebaliknya menerusi keupayaan sistem mencegah pelanggaran daripada berulang.

UMNO mendesak Kerajaan menjadikan insiden Puchong sebagai pemangkin kepada reformasi berstruktur dengan garis masa dan petunjuk prestasi (KPI) yang jelas. Peliharalah kesucian agama, pertahankan hak pengguna, dan tegakkan integriti halal tanpa kompromi.

OLEH: MOHAMED SHAKIR MOHAMED OSMAN
Penulis ialah ahli UMNO Cawangan Shah Alam – Seksyen 8

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO