JABHAH Kecam Pencabulan Integriti Halal, Utarakan Empat Tindakan Konkrit
JABHAH Ilmuwan Muda Malaysia (JABHAH) memandang serius pendedahan kegiatan penyembelihan dan pemprosesan ayam yang diragui status halalnya di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, Selangor, susulan serbuan Op Taring Chiller pada 30 Oktober 2026.
Menurut laporan polis, premis tersebut dipercayai mempunyai kapasiti memproses lebih 40,000 ekor ayam sehari dan menggunakan kaedah pemengsanan elektrik (waterbath stunning) yang menimbulkan keraguan terhadap kesahihan sembelihan.
Pemeriksaan dilaporkan mendapati penggunaan voltan sebanyak 60 volt pada pintu pertama dan 130 volt pada pintu kedua, sedangkan had yang dinyatakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi kaedah tersebut ialah di bawah 10 volt. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa ayam mungkin telah mati sebelum proses sembelihan dilaksanakan.

Lebih membimbangkan, premis berkenaan dipercayai telah beroperasi sekitar 20 tahun dan bekalannya dilaporkan diedarkan kepada kedai makan, kedai runcit serta pasar raya sekitar Lembah Klang.
Sehubungan itu, JABHAH mengemukakan pendirian berikut:
1. HUKUM SEMBELIHAN TIDAK BOLEH DIKOMPROMI
Allah SWT mengharamkan bangkai daripada dimakan sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Ma’idah, ayat 3.
Antara syarat asas sembelihan yang sah ialah haiwan masih hidup ketika disembelih, penyembelih memenuhi kelayakan syarak serta pemutusan halkum dan mari’ dilaksanakan mengikut ketetapan hukum.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-70 pada 29 September 2005 memutuskan bahawa kaedah waterbath stunning bagi ayam dan itik adalah harus dengan syarat kekuatan arus elektrik dikawal supaya tidak menyebabkan kematian haiwan serta dikawal selia oleh petugas Muslim bertauliah.
Justeru, isu utama bukan semata-mata penggunaan teknologi pemengsanan, tetapi sama ada haiwan masih hidup dan memenuhi syarat syarak ketika disembelih. Sekiranya terbukti ayam telah mati akibat renjatan elektrik sebelum sembelihan yang sah, ayam tersebut tergolong sebagai bangkai dan haram dimakan.
Kemajuan teknologi dan kepentingan pengeluaran industri tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan ketetapan hukum syarak.
2. KECAM SEBARANG PENCABULAN INTEGRITI HALAL
JABHAH mengecam keras sebarang perbuatan menyembelih, memproses atau mengedarkan haiwan yang tidak memenuhi ketetapan syarak untuk dipasarkan sebagai makanan halal kepada umat Islam. Sekiranya terbukti berlaku penipuan, pengabaian prosedur atau pelanggaran undang-undang, pengusaha dan mana-mana individu yang bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan sewajarnya.
Pada masa yang sama, laporan bahawa premis ini dipercayai telah beroperasi sekitar 20 tahun, pernah beberapa kali diperiksa serta menerima teguran dan peringatan daripada JAKIM menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan penguatkuasaan dan tindakan susulan.
JABHAH menuntut penjelasan berhubung status pelesenan, sejarah pemeriksaan, tindakan terdahulu serta bagaimana operasi premis tersebut dapat diteruskan.
Siasatan tidak seharusnya terhenti pada pekerja yang ditahan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pemilik, pengendali dan pihak dalam rantaian pembekalan yang terbukti terlibat dalam sebarang kesalahan. JABHAH menghormati proses siasatan dan tidak mendahului penentuan kesalahan mana-mana pihak. Namun, kebertanggungjawaban mesti ditegakkan secara telus.
3. EMPAT TUNTUTAN TINDAKAN KONKRIT
Malaysia telah mempunyai piawaian dan prosedur pensijilan halal yang jelas, termasuk Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) 2020. Justeru, tumpuan mestilah diberikan kepada keberkesanan pelaksanaan, penguatkuasaan dan penutupan jurang pemantauan.
Pertama: Perketat pemantauan premis sembelihan berisiko.
Laksanakan pemeriksaan bersepadu berasaskan risiko, khususnya terhadap rumah sembelih komersial yang tidak mempunyai pengesahan halal, disyaki beroperasi tanpa kelulusan atau mempunyai rekod ketidakpatuhan. Pemeriksaan mesti merangkumi status lesen, kelayakan penyembelih, pematuhan proses sembelihan dan parameter teknikal peralatan pemengsanan (stunning) mengikut piawaian sedia ada.
Kedua: Siasat keseluruhan rantaian bekalan dan penggunaan pensijilan halal.
Pihak berkuasa perlu menjejaki bekalan ayam daripada rumah sembelih sehingga kepada pemborong, pengilang, pemilik jenama, peruncit dan restoran yang terlibat. Siasatan juga perlu memastikan sama ada bekalan tersebut pernah diproses atau dipasarkan semula menggunakan pensijilan halal pihak lain, termasuk melalui pengilangan kontrak (OEM). Sekiranya terbukti berlaku penyalahgunaan sijil atau pengedaran produk tidak halal, tindakan undang-undang dan penarikan balik produk hendaklah dilaksanakan segera.
Ketiga: Pastikan tindakan susulan boleh dipertanggungjawabkan.
Setiap pemeriksaan dan penemuan ketidakpatuhan perlu disusuli tindakan yang direkodkan, tempoh penyelesaian dan pengesahan pematuhan. Penyelarasan antara pihak berkuasa agama, veterinar, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan mesti memastikan premis yang melanggar syarat tidak terus beroperasi tanpa tindakan sewajarnya.
Keempat: Dedahkan hasil siasatan dan langkah pembetulan.
Pihak berkuasa perlu menjelaskan status pelesenan premis, sejarah pemeriksaan, tindakan terdahulu, hasil pengesanan bekalan serta tindakan undang-undang yang diambil. Dapatan ini hendaklah disusuli pelan pembetulan yang jelas bagi menutup kelemahan yang dikenal pasti, tanpa menjejaskan proses siasatan.
4. HUKUM BAGI PENGGUNA YANG TELAH TERMAKAN
JABHAH memahami keresahan umat Islam yang bimbang pernah membeli atau memakan ayam daripada rantaian bekalan yang terlibat.
Daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku atas kesilapan, kelupaan dan perkara yang dilakukan kerana paksaan.”
(Riwayat Ibn Majah dan al-Bayhaqi)
Selaras dengan prinsip tersebut, Imam al-Suyuti menjelaskan dalam al-Ashbah wa al-Naza’ir:
أَنَّ النِّسْيَانَ وَالْجَهْلَ مُسْقِطٌ لِلْإِثْمِ مُطْلَقًا
Maksudnya: “Sesungguhnya kelupaan dan kejahilan menggugurkan dosa.”
Justeru, pengguna yang telah memakan makanan tersebut tanpa mengetahui hakikat sebenar dan mempunyai sangkaan munasabah bahawa ia halal tidak menanggung dosa. Keraguan semata-mata tidak memadai untuk menghukum sesuatu makanan sebagai haram. Namun, apabila terbukti sesuatu bekalan tidak halal, umat Islam wajib mengelakkan pengambilannya.
PENEGASAN JABHAH
Jaminan makanan halal bukan sekadar urusan pensijilan atau kepentingan industri, tetapi sebahagian daripada tuntutan pemeliharaan agama (hifz al-din), perlindungan pengguna dan amanah tadbir urus negara.
JABHAH menghargai tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAIS, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi berkaitan membongkar kegiatan yang disyaki melanggar ketetapan syarak. Namun, kejayaan sesuatu operasi penguatkuasaan mesti disusuli pembetulan kelemahan sistem agar kejadian seumpamanya tidak berulang.
Halal bukan sekadar logo atau pengiktirafan pada label. Ia adalah amanah yang mesti dipelihara daripada proses sembelihan sehingga makanan sampai kepada pengguna.
Jangan biarkan pengguna menanggung akibat daripada kegagalan pihak yang diamanahkan menjaga integriti rantaian bekalan halal.
MOHAMAD ANAS MOHAMAD NAEM
Pengerusi
JABHAH Ilmuwan Muda Malaysia (JABHAH)
