Siti Aisyah Mahu Teruskan Agenda ‘BN Sayang Rakyat’

MELAKA, 2 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood bertekad meneruskan agenda kebajikan rakyat yang menjadi antara keutamaan parti itu sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, pemilihannya sebagai calon BN bagi DUN berkenaan merupakan satu amanah yang disambut dengan penuh kesyukuran, selain menghargai kepercayaan dan sokongan kepimpinan parti.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih, terutama sekali kepada Pengerusi  BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya juga tidak melupakan Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ketua Wanita UMNO bahagian saya, Datuk Kalsom yang telah menyokong pemilihan saya untuk mewakili BN di DUN Pengkalan Batu,” katanya.

Mengulas sambutan jentera BN yang memberangsangkan pada program parti sebelum ini, beliau berkata kehadiran ramai penyokong mencerminkan keyakinan terhadap BN, termasuk sokongan daripada masyarakat setempat.

Menurutnya, semangat yang ditunjukkan bukan sahaja melibatkan jentera parti, malah turut memperlihatkan sokongan rakyat terhadap usaha BN untuk terus memperkukuh kedudukannya di Melaka.

Beliau berkata, agenda BN Sayang Rakyat yang diketengahkan parti itu perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat sentiasa diberikan perhatian.

“Perkara itu ingin diteruskan lagi. Jadi, diharapkan rakyat memberi kepercayaan kepada BN dan peluang kepada kami untuk membuktikan bagaimana BN sayang rakyat,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO