PRN Melaka: Kempen Bijaksana, Jangan Terjebak Politik Kotor – Ab Rauf
TABOH NANING, 2 Nov – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menggerakkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara bijaksana, berhemah dan berlandaskan prinsip demokrasi tanpa terjebak dengan hasutan kebencian, fitnah ataupun kempen ke arah politik jahat.
Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, kempen yang berlangsung setakat ini berjalan dalam suasana baik dan tenang, sekali gus menunjukkan semua parti politik mengambil pendekatan lebih matang dengan menjadikan garis panduan ditetapkan sebagai rujukan.

Menurutnya, setiap jentera perlu mengutamakan kempen berasaskan fakta, rekod pencapaian dan tawaran kepada rakyat, bukannya membangkitkan sentimen kebencian sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Sepanjang tempoh kempen sehingga hari ini, kita melihat keadaan berjalan dengan baik dan tenang. Garis panduan yang telah diberikan nampaknya menjadi panduan kepada semua parti untuk berkempen dengan lebih bijaksana.
“Kita melihat minta rakyat supaya jangan berubah fikiran dalam agenda politik ataupun kebencian. Sebaliknya rakyat perlu melihat apakah yang telah dibentangkan dan dilaksanakan BN ketika mentadbir negeri ini sepanjang penggal lalu,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka menjelaskan, kesinambungan pentadbiran yang membawa kesejahteraan rakyat, kestabilan serta keharmonian negeri perlu dipertahankan demi memastikan keamanan dan kelestarian itu dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Ujarnya, PRN Melaka bukan sekadar menentukan kepimpinan negeri, sebaliknya menjadi medan penting untuk rakyat memilih hala tuju serta membina masa depan Melaka yang lebih baik.

“Pada 14 haribulan ini, masa depan negeri dan rakyat berada di tangan kita. Inilah peluang untuk rakyat menentukan jambatan masa depan yang ingin kita bina bersama.
“Jangan lupa, undilah gelombang biru,” katanya lagi.
Untuk rekod, BN Melaka mempertaruhkan 21 calon bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 687,697 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi PRN Melaka ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 14 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala undi awal pada 10 Nov. – UMNO Online
