Gelombang Kebangkitan BN Johor, N.Sembilan Perlu Diteruskan Ke Melaka – Adnan
TABOH NANING, 2 Nov – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hasan berpandangan gelombang peningkatan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan perlu diteruskan serta diterjemahkan dalam PRN Melaka.
Menurutnya, momentum positif itu semakin memperlihatkan petanda kebangkitan BN, sekali gus memberi keyakinan bahawa gabungan berkenaan mampu mencatatkan keputusan lebih baik di Melaka.

“Kalau kita lihat, gelombang PRN Johor dan Negeri Sembilan itu masih ada dan perlu dilontarkan ke Melaka. Insya Allah… jentera BN bersama rakan-rakan seperjuangan sudah bersedia untuk menghadapi PRN kali ini.
“Dengan gelombang ini, jelas kelihatan peningkatan sokongan terhadap BN di Melaka. Saya sendiri berada di DUN Taboh Naning dan melihat sokongan kepada calon BN begitu ketara.
“Saya percaya gelombang ini akan berterusan dan lebih besar, khususnya dengan adanya konsistensi rangkaian kerjasama bersama Pas atau Perikatan Nasional (PN). Ini merupakan antara kelebihan yang diinginkan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Adnan berharap kerjasama politik berkenaan dapat direalisasikan selaras dengan aspirasi rakyat yang mahukan kesepakatan lebih kukuh dalam membentuk kerajaan, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
“Kemenangan BN dalam PRN Melaka bukan sahaja berpotensi memperkukuh kestabilan politik, malah mampu memberikan kesan positif terhadap pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Dalam masa sama, Adnan menegaskan BN tidak pernah meminggirkan golongan minoriti, sebaliknya sentiasa membuka ruang kepada semua kelompok masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
“BN tidak pernah meminggirkan golongan minoriti. Mereka juga boleh bersama-sama membangunkan kerajaan kerana kelompok ini mempunyai sumbangan yang cukup besar, khususnya dalam sektor ekonomi.
“Perkara paling penting ialah kita dapat hidup bersama secara harmoni, saling menghormati dan berganding bahu demi kemajuan serta kestabilan negara,” ujarnya. – UMNO Online
