Rekod Khidmat Jadi Sandaran Sokongan Pengundi Untuk BN – Wan Rosdy
TELOK MAS, 2 Nov – Rekod khidmat dan keprihatinan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dalam mendampingi masyarakat menjadi antara faktor yang diyakini mampu menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sambutan masyarakat terhadap program kempen yang diadakan menunjukkan sokongan terhadap Abdul Razak yang telah sekian lama memberikan khidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian ketika menghadiri program Sembang Minum Petang Bersama Masyarakat Setempat yang turut dihadiri Abdul Razak.
“Daripada segi pengamatan dan pemerhatian saya, masyarakat di sini memberi sokongan berdasarkan rekod khidmat Datuk Razak yang begitu baik dalam mendampingi masyarakat dan memberikan perhatian kepada rakyat.
“Saya harap pengundi-pengundi di sini yang berjumlah hampir 30,000 orang dapat memberikan sokongan dan mengundi Datuk Razak,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi agar keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab pada 14 November ini.
Katanya, golongan muda khususnya pengundi kali pertama perlu disantuni dan didekati bagi memastikan mereka turut memainkan peranan dalam menentukan masa depan kawasan yang diwakili.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, gabungan pemimpin muda dan berpengalaman merupakan proses biasa dalam parti politik bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta melahirkan barisan pelapis yang berkualiti.

Menurutnya, gabungan kedua-dua kelompok itu mampu mewujudkan sinergi yang baik dalam memperkukuh kepimpinan parti.
“Ini adalah satu proses biasa, gabungan antara yang muda dengan yang ada pengalaman supaya gabungan ini akan mewujudkan sinergi.
“Kalau tidak, akhirnya bermakna kita gagal menyediakan pemimpin pelapis,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penglibatan pemimpin muda dalam kepimpinan parti bukan satu isu atau masalah, sebaliknya penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan pada masa hadapan. – UMNO Online
