Jentera BN Perkukuh Kesatuan, Elak Terjebak Adu Domba – Dr Azhar
SUNGAI UDANG, 1 Nov – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya terus memperkukuh kesatuan, menjaga hubungan silaturahim serta mengawal emosi sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan segala usaha parti tidak terjejas akibat provokasi dan permainan adu domba pihak lawan.
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, kekuatan jentera UMNO dan BN bukan sahaja terletak pada kesiapsiagaan serta gerak kerja yang tersusun, malah turut bergantung kepada semangat kebersamaan dan kesetiaan antara satu sama lain.
Jelasnya, jentera UMNO dan BN sememangnya mempunyai pengalaman serta keupayaan menggerakkan kempen secara teratur dalam setiap pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).
“Di mana-mana apabila ada pilihan raya, jentera BN sememangnya tersusun. Saya menasihatkan semua jentera BN supaya kekal ‘cool’ sepanjang berkempen, jangan mudah terpengaruh dan terus mengikat kasih sayang sesama sendiri.
“Kita melihat ada pihak yang cuba melakukan adu domba untuk memecah-belahkan parti. Sebab itu, jangan sesekali membiarkan perbezaan atau provokasi melemahkan kita,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut Dr Azhar, persiapan jentera BN di Melaka dilihat cukup rapi dan tersusun, lebih-lebih lagi negeri itu berada di bawah pentadbiran BN, sekali gus memperlihatkan pengalaman serta kekuatan parti di setiap peringkat.
Ujarnya, ketika berkunjung ke DUN Sungai Udang, beliau melihat sendiri semangat luar biasa jentera UMNO dan BN yang bergerak secara tersusun, daripada peringkat lokal, kumpulan bapak angkat sehinggalah ke pusat daerah mengundi (PDM).
“Apabila melihat semangat jentera di setiap peringkat, ia memberikan satu gambaran jelas bahawa kekuatan kita memang ada. Namun, ramai sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disertai kesatuan dan semangat saling membantu antara satu sama lain.
“Gerak kerja ‘operation each other’s’ perlu diperkukuh dengan nilai silaturahim. Inilah kekuatan yang ada pada jentera UMNO dan BN, iaitu ikatan kebersamaan yang menjadi asas kepada kekuatan parti,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai cabaran kempen, Azhar berkata, pelbagai persepsi, serangan politik dan permainan emosi dijangka terus dimainkan pihak lawan bagi mempengaruhi pemikiran pengundi. Dan mengingatkan seluruh jentera supaya tidak mudah melatah atau bertindak mengikut emosi, sebaliknya kekal berpegang kepada fakta serta menyampaikan mesej parti secara berhemah.
“Dalam peperangan pilihan raya ini, sudah pasti pelbagai persepsi akan dimainkan, termasuk perkara yang melibatkan emosi dan fakta. Musuh akan sentiasa menyerang, tetapi emosi kita mesti berada di bawah kawalan.
“Akhirnya… antara persepsi dengan fakta, masyarakat akan menilai dan mempercayai fakta. Jadi, jangan kita terperangkap dengan provokasi sehingga mengabaikan tanggungjawab utama untuk mendekati rakyat dan menyampaikan fakta sebenar,” tegasnya. – UMNO Online
