BN Dekati Pengundi, Bawa Rekod Pencapaian Kerajaan Negeri

MELAKA, 1 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan parti pada ketika ini fokus dalam usaha mendekati pengundi bagi meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, pendekatan bersemuka dengan pengundi penting bagi menyampaikan maklumat mengenai kejayaan dan pelbagai inisiatif kebajikan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri.

“Fokus kita adalah untuk mendekati pengundi, berjumpa sebanyak mungkin dan beritahu kepada mereka trek rekod bahawa Melaka dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) telah banyak mencipta kejayaan, memberi bantuan kebajikan kepada rakyat.

“Kita akan teruskan lagi sekiranya diberi mandat sekali lagi. Saya kira rakyat akan menilai prestasi kerajaan Melaka yang paling terbaik dan cemerlang sebelum ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Wan Rosdy menambah kestabilan politik merupakan antara perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi memastikan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, ini kerana suasana politik yang stabil membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada perancangan pembangunan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Sebabnya yang penting adalah keadaan yang stabil dan rekod. Saya fikir itu kehendak rakyat mahu kestabilan politik. Apabila ada kestabilan politik, kita boleh fokus untuk membangunkan negeri, untuk memberi kebajikan kepada rakyat dan banyak perkara lagi yang boleh kita fikirkan.

“Sebab itu kestabilan politik itu perlu ada… dan di Melaka kita lihat kestabilan politik ada sebelum ini, banyak yang telah dibuat.

“Seperti yang berlaki di Johor dan Negeri Sembilan. Jadi saya sangat berharap supaya ianya ada kesinambungan supaya banyak lagi bantuan kebajikan, pembangunan akan dibawa ke Melaka,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO