PRN Melaka: Kesepaduan Jentera Jadi Kekuatan BN – Mohamad Hasan
MASJID TANAH, 31 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kesepaduan dan semangat jentera Barisan Nasional (BN) sebagai kekuatan utama parti dalam menghadapi Pilihan Raya, sekali gus menjadi asas penting untuk memastikan kemenangan pada hari pengundian nanti.
Beliau berkata, proses penamaan calon yang berlangsung hari ini berjalan lancar dan teratur, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Lendu, dengan beliau mengiringi calon BN, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Menurutnya, semangat serta kerjasama yang ditunjukkan jentera BN di seluruh Melaka membuktikan tahap kesiapsiagaan parti dalam menggerakkan kempen secara tersusun.

“Alhamdulillah, proses penamaan calon berjalan dengan baik. Apa yang saya lihat, jentera Barisan Nasional amat bersemangat dan yang paling penting ialah kesepaduan. Gerak kerja mengiringi calon juga dilaksanakan dengan begitu rapi,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika mengulas perkembangan proses penamaan calon dan persiapan jentera BN di sini, hari ini.
Mohamad menegaskan, kesepaduan yang ditunjukkan oleh anggota jentera BN perlu diteruskan sepanjang tempoh kempen dengan memberi tumpuan kepada usaha mendekati dan menyantuni seramai mungkin pengundi di setiap kawasan yang ditandingi.
Beliau turut menyeru seluruh jentera BN di Melaka supaya memastikan gerak kerja kempen dilaksanakan secara sistematik, termasuk pembahagian tugas, pendekatan kepada pengundi serta penyediaan bahan kempen.
“Kesepakatan itu penting kerana ia menggambarkan jentera yang baik. Saya harap selepas proses penamaan calon ini, jentera BN terus bergerak dan menyantuni seramai mungkin pengundi, bukan sahaja di DUN Lendu tetapi di semua kawasan yang kita tandingi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kekuatan jentera bukan sekadar diukur melalui keupayaan mengenal pasti pengundi yang menyokong BN, sebaliknya kejayaan sebenar bergantung kepada kemampuan memastikan mereka keluar mengundi.
“Yang penting ialah pada hari pengundian kerana ketika itulah segala gerak kerja kita selama ini akan diterjemahkan. Tidak guna kita mengenal pasti pengundi yang menyokong kita tetapi kita tidak berjaya membawa mereka keluar mengundi.
“Apa yang mustahak ialah undi yang masuk ke dalam peti undi pada 14 haribulan nanti,” tegasnya.

Beliau juga yakin bahawa semangat kebersamaan, disiplin dan kesepaduan jentera yang ditunjukkan ketika proses penamaan calon akan menjadi pemangkin kepada gerak kerja kempen yang lebih mantap, sekali gus meningkatkan keyakinan BN untuk mencapai kemenangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 14 Nov manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis. – UMNO Online
