Pertahan Asahan, Kempen Matang Jadi Keutamaan – Fairul
ALOR GAJAH, 31 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan menyeru semua pihak agar mengamalkan kempen secara sihat dan harmoni sepanjang tempoh dua minggu berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka berkata saingan politik sepanjang tempoh berkempen seharusnya berlangsung secara matang tanpa menjejaskan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Saya mengharapkan sebagaimana keamanan dan kedamaian sewaktu proses penamaan calon ini berlaku, maka dalam tempoh kempen di DUN Asahan dan di seluruh negeri Melaka, berkempenlah secara sihat dan harmoni.
“Ini kerana kita hanya berkempen selama dua minggu ini untuk mengangkat parti masing-masing. Selepas itu, kita tetap akan bersama-sama juga.
“Paling penting, semua pengundi saya nasihatkan supaya menjaga silaturahim sesama kita dan menjaga kesihatan semua jentera,” katanya.
Dr Fairul berkata demikian ketika ditemui media di Pusat Penamaan Calon, Kolej Teknologi Jabatan Tenaga Manusia Kampus Selandar, selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN berkenaan hari ini.
Beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH), dalam pertandingan dua penjuru.
Mengulas mengenai persaingan tersebut, Dr Fairul berkata semua calon perlu menerima hakikat bahawa gelanggang pilihan raya merupakan medan persaingan yang adil dan masing-masing perlu menggerakkan jentera bagi mendapatkan mandat rakyat.
Menurutnya, meskipun beliau dikatakan mempunyai kelebihan sebagai penyandang, perkara itu tidak akan menyebabkan jentera BN mengambil mudah persiapan menghadapi pilihan raya.
“Bagi saya apabila gelanggang dibuka, semuanya adil dan saksama.
“Walaupun saya penyandang di sini sebelum ini, dikhabarkan mempunyai peluang yang lebih cerah, namun gerak kerja dan jentera telah tetapkan bahawa kita kena kerja habis-habisan supaya kemenangan yang mutlak dapat milik kembali kepada BN,” ujar beliau.
Untuk rekod, Dr Fairul yang lebih dikenali sebagai Along pada PRN lalu memenangi 5,659 undi dengan majoriti 2,993 dalam saingan enam penjuru.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
