Rais Tolak Politik Kebencian, Mahu Terus Berkhidmat Untuk Rakyat
Tangga Batu, 31 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin menegaskan pendiriannya menolak budaya politik hasutan, fitnah dan kebencian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, pendekatan politik sedemikian tidak seharusnya menjadi amalan dalam persaingan pilihan raya, sebaliknya semua pihak perlu memberikan ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan berdasarkan pertimbangan masing-masing.
“Dari awal lagi Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memang telah nyatakan berkali-kali bahawasanya kita kali ini di Pilihan Raya Negeri Melaka, kita tolak budaya politik hasutan, politik fitnah, politik, kita panggil gutter politik. Politik-politik kebencian kita tolak,” katanya selepas proses penamaan calon bagi DUN Sungai Udang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, serangan yang diterima menerusi media sosial sepanjang tempoh menghadapi pilihan raya dianggap sebagai lumrah dalam persaingan politik dan tidak seharusnya menimbulkan permusuhan.
“Dan Alhamdulillah saya tidak berdendam dengan mana-mana pihak. Bagi saya, kita tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Kalau itu caranya kita nak berpolitik, saya serahkan kepada Allah swt dan kepada pengundi di DUN Sungai Udang itu sendiri,” katanya.
Rais turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mewakili parti di DUN Sungai Udang.
Beliau turut berterima kasih kepada jentera parti dan ahli keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dalam perjuangannya menghadapi PRN Melaka kali ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata perjuangannya di Sungai Udang bukan sekadar untuk tempoh kempen pilihan raya, sebaliknya merupakan kesinambungan usaha dan khidmat yang telah dilaksanakan bersama masyarakat sejak sekian lama.
“Bagi saya, apa yang saya lakukan, pilihan raya ini adalah hanya satu perjalanan. Tapi kita telah bersama dengan rakyat, terutama di dalam DUN Sungai Udang ini bukan baru tempoh dua minggu ini. Kita dah ada lama dah di sini,” katanya.
Beliau berharap diberikan peluang untuk meneruskan usaha dan khidmat kepada penduduk Sungai Udang, selain mendoakan agar semua calon yang bertanding dikurniakan kesihatan serta kesejahteraan sepanjang proses pilihan raya.
“Dan izinkanlah saya untuk meneruskan ikhtiar dan bakti saya di DUN Sungai Udang,” katanya.- UMNO Online
