Abdul Hakim Teruskan ‘BN Sayang Rakyat’, Semai Kempen Berhemah

MELAKA, 31 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid menyeru semua pihak agar mengamalkan kempen secara berhemah tanpa fitnah, hasutan atau tindakan yang boleh menjejaskan hubungan sesama masyarakat, sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha menjaga kebajikan dan menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, tanggungjawab utama sebagai calon dan jentera parti adalah untuk mendekati rakyat, memahami keperluan mereka serta membantu menyelesaikan isu yang dihadapi, selaras dengan semangat perjuangan BN Sayang Rakyat.

“Lebih baik kita tumpukan kepada tugasan menjaga kebajikan dan menguruskan isu serta masalah rakyat daripada perkara-perkara yang boleh memecahkan silaturahim.

“Itulah yang ditekankan oleh Presiden parti dan pucuk pimpinan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon di Kompleks Rakan Muda, di sini, hari ini.

Abdul Hakim yang memperoleh nombor satu pada kertas undi turut melahirkan rasa syukur apabila proses penamaan calonnya berjalan lancar tanpa sebarang halangan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti serta semua penyokong Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang memberikan sokongan sepanjang proses berkenaan.

Pada proses penamaan calon itu, beliau diiringi pencadang, Cikgu Baharudin yang merupakan pemimpin di Lendu, serta penyokongnya, Nurul Amirah yang juga Ketua Puteri UMNO Melaka.

Abdul Hakim menegaskan bahawa pendekatan kempen yang mengutamakan kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan semua pihak bagi memastikan suasana pilihan raya berlangsung dengan baik, harmoni dan berlandaskan semangat perpaduan.

Menurutnya, perjuangan politik seharusnya dimanfaatkan untuk membawa manfaat kepada rakyat, bukannya mencetuskan perpecahan melalui serangan peribadi, fitnah atau hasutan.

Sehubungan itu, beliau mengajak jentera parti untuk terus memperkukuh gerak kerja di lapangan dan mendekati masyarakat dengan membawa mesej serta tawaran yang memberi manfaat kepada penduduk Lendu selari dengan semangat BN Sayang Rakyat.

Abdul Hakim berdepan pertandingan dua penjuru dengan ditentang calon dari Parti PPBM, Nazri Ramli. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO