PRN Melaka: ‘Utamakan Silaturahim, Hormati Perbezaan Politik’ – Abdul Hakim
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid menyeru semua pihak agar mengamalkan politik matang dan menolak budaya kebencian sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka berkata, ini kerana ia penting untuk mengutamakan keharmonian dan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
“Kita di Melaka ini jangan mengamalkan politik kebencian, politik hasutan, fitnah. Jadi itulah konsep yang dibawa oleh BN di Melaka…. jangan bertelagah sesama sendiri antara parti dan parti-parti lain juga.
“… yang penting adalah silaturahim, parti politik ini hanya parti politik tapi rakyat ini akan duduk tiap hari berjumpa dengan mana-mana individu walaupun parti-parti lain.
“Kita boleh berbeza pandangan, tapi kita kena menghormati antara satu sama lain supaya tertib ini dan adab ini akan terus dilihat oleh anak-anak muda pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau berkata rakyat negeri ini wajar memanfaatkan PRN untuk memilih parti yang mampu meneruskan kesinambungan pembangunan serta memastikan kebajikan dan keperluan rakyat terus diberi perhatian.
Menurut beliau kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri perlu diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat terus terpelihar
“Kepimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka dalam tempoh tiga tahun lebih ini, beliau menerajui kepimpinan di negeri Melaka dan pelbagai inisiatif, pelbagai program-program yang membawa dan memberi manfaat kepada rakyat ini.
“Saya cukup yakin, insya-Allah dengan apa yang telah dibuat oleh kerajaan di bawah pimpinan beliau, sekali lagi BN mungkin akan diberi peluang untuk mentadbir kerajaan negeri selepas ini,” ujar beliau.
Terdahulu, Abdul Hakim diumumkan sebagai calon BN bagi DUN Lendu sempena PRN Melaka.
Kerusi DUN itu sebelum ini dimenangi Datuk Sulaiman Md Ali pada PRN Melaka 2021 selepas meraih 4,486 undi dengan majoriti 3,104.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, hari pengundian awal pada 10 November dan penamaan calon pada 31 Oktober. – UMNO Online
