Jentera BN Sabah Di Melaka, Terjemah Semangat Perjuangan
MELAKA, 29 Okt – Jentera Barisan Nasional (BN) Sabah turun ke Melaka bagi membantu gerak kerja pilihan raya serta memperkukuh usaha memastikan kejayaan calon-calon BN, berlandaskan semangat setiakawan dan komitmen perjuangan yang sama.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Samasuddin Yusop berkata, kehadiran jentera dari Sabah mencerminkan kesepaduan perjuangan BN dalam menggerakkan jentera parti serta mendekati rakyat secara lebih dekat dan berkesan.
Menurut beliau, semangat perjuangan tidak seharusnya terhenti pada slogan atau kata-kata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui khidmat, tindakan dan kesungguhan memahami keperluan rakyat.

“Dari Sabah ke Melaka, kami hadir membawa semangat setiakawan dan tekad perjuangan yang sama. Jentera BN Sabah turut turun padang dan akan berkampung di bumi Melaka bagi membantu gerak kerja serta memastikan kejayaan calon-calon Barisan Nasional,” katanya.
Beliau menegaskan, setiap jentera perlu menjadikan usaha mendekati rakyat sebagai keutamaan dengan mengamalkan pendekatan yang ikhlas, mendengar suara serta memahami harapan dan keperluan masyarakat setempat.
“Dekati rakyat dengan penuh keikhlasan, dengar suara mereka dan terjemahkan semangat perjuangan melalui khidmat serta tindakan. Inilah yang perlu menjadi pegangan setiap jentera dalam melaksanakan tanggungjawab kepada parti dan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, kesepaduan gerak kerja, disiplin jentera dan kesungguhan turun padang merupakan antara elemen penting dalam memastikan setiap usaha yang dilaksanakan memberi kesan positif kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera BN agar terus merapatkan saf, menyatukan hati dan memperkukuh langkah bagi memastikan gerak kerja parti berjalan dengan teratur serta berkesan.
“Semoga setiap usaha dipermudah dan setiap penat lelah membuahkan kemenangan. Yang lebih penting, semangat perjuangan ini mesti dibuktikan melalui khidmat yang ikhlas, tindakan yang nyata dan komitmen berterusan kepada rakyat,” katanya.
Pada Sabtu lepas, BN mengumumkan calonnya bagi 21 kerusi DUN yang bakal ditandingi dalam PRN ini.
Hari penamaan calon PRN Melaka akan diadakan pada Sabtu ini manakala undi awal dan hari pengundian masing-masing ditetapkan pada 10 dan 14 Nov ini. – UMNO Online
