Generasi Muda Perlu Hayati, Pertahan Warisan Sejarah Melayu
KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berpandangan mahasiswa bukan sekadar perlu mempelajari sejarah, malah harus berani mengkaji demi memastikan warisan tersebut terus difahami oleh generasi akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata ini kerana, sejarah Melayu bukan sekadar kisah masa lalu, sebaliknya menjadi asas penting dalam mengenali jati diri, kekuatan dan kebijaksanaan bangsa.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan menyantuni mahasiswa UiTM menerusi Program Bakti Siswa Madani di Kampung Pulau, Masjid Tanah.
“Saya titipkan satu pesan. Jangan sekadar menjadi mahasiswa yang belajar sejarah, tetapi jadilah generasi yang berani mengkaji, membongkar dan mendokumentasikan sejarah bangsa.
“Sejarah Melayu bukan sekadar cerita masa lalu. Di situlah kita menemukan jati diri, kekuatan dan kebijaksanaan bangsa untuk menjadi panduan generasi akan datang.
“Saya mahu meluruskan kebengkokan sejarah yang diciptakan oleh penjajah, lalu diwariskan kepada generasi ini dan masa depan. Kena ingat, kita sebenarnya adalah bangsa yang hebat,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas menyantuni lebih 300 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Program Bakti Siswa Madani di Kampung Pulau, Masjid Tanah.
Sementara itu, menerusi perkongsian berbeza, beliau turut meluangkan masa bersarapan pagi bersama masyarakat setempat di kawasan kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Menurutnya, rutin bersarapan pagi pada hujung minggu itu menjadi kesempatan untuk beramah mesra, bertanya khabar dan berinteraksi secara santai dengan masyarakat setempat.
“Macam biasa, awal pagi hujung minggu ini, saya mesti bersarapan pagi di kawasan kampung DUN Tanjung Bidara.
“Alhamdulillah, ramai yang datang kedai dak nuar ni, dapat ler saya berborak dengan keluarga besar DUN Tanjung Bidara,” ujar beliau. – UMNO Online
