Kerajaan Pahang Peruntuk RM600,000 Perkasa Koperasi Kariah Masjid
PEKAN, 23 Okt – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM600,000 menerusi Inisiatif Makmur Pahang bagi tahun ini untuk memperkasa Koperasi Kariah Masjid sebagai usaha memperluas peluang ekonomi masyarakat setempat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, koperasi kariah masjid mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin ekonomi ummah, selain memperkukuh peranan masjid sebagai institusi yang membawa manfaat menyeluruh kepada masyarakat.
Menurut beliau, masjid bukan sekadar menjadi tempat umat Islam menunaikan ibadah, malah berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat, penyebaran ilmu, pengukuhan silaturahim dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Melalui koperasi, masjid bukan sahaja dapat mengimarahkan kehidupan beragama, malah berpeluang menjana aktiviti ekonomi yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada ahli kariah dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Multaqa Wa Takrim Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026 yang berlangsung di sini, pagi tadi.
Wan Rosdy berkata, usaha memperkasakan koperasi kariah masjid merupakan satu langkah positif dalam memastikan institusi masjid terus relevan dan berupaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi.
Katanya, sokongan kerajaan negeri terhadap inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, malah membawa manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong usaha seperti ini selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, kerana kita mahu pembangunan yang dilaksanakan bukan sekadar meningkatkan ekonomi, tetapi turut membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan koperasi kariah masjid dalam aktiviti ekonomi berpotensi membuka ruang kepada masyarakat untuk menikmati manfaat ekonomi secara bersama, di samping mengukuhkan semangat kerjasama dan tanggungjawab sosial dalam kalangan ahli kariah.
Pendekatan itu juga selari dengan usaha membangunkan masyarakat yang bukan sahaja kukuh dari segi kerohanian, tetapi turut mempunyai keupayaan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.
Dalam pada itu, Wan Rosdy merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang, Institut Koperasi Malaysia Zon Timur (IKMa), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap kerjasama berterusan antara kerajaan negeri, agensi berkaitan dan pengurusan koperasi kariah masjid dapat memastikan usaha memperkasa koperasi berkenaan terus berkembang dan memberikan impak positif kepada masyarakat.
“Insya-Allah, dengan kerjasama dan komitmen berterusan semua pihak, saya berharap koperasi kariah masjid akan terus berkembang sebagai pemangkin ekonomi ummah, sekali gus menjadikan masjid sebuah institusi yang bukan sahaja menyuburkan rohani, tetapi turut membawa manfaat kepada kehidupan masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online
