BN Tenom Sedia Galas Tanggungjawab Lebih Besar Demi Rakyat
TENOM, 23 Okt – Barisan Nasional (BN) Tenom bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar untuk memperjuangkan nasib rakyat, termasuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, namun keputusan akhir diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
Pengerusi BN Tenom, Datuk Raime Unggi berkata, BN mempunyai kekuatan jentera, pengalaman serta sokongan akar umbi untuk terus berkhidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, BN Tenom tidak mahu hanya menjadi pemerhati dalam landskap politik, sebaliknya bersedia memainkan peranan lebih aktif demi kepentingan rakyat.
“BN Tenom bukan sekadar mahu menjadi pemerhati. Kita mempunyai tanggungjawab dan komitmen untuk memastikan kepentingan rakyat terus terbela.
“Bagaimanapun, sebarang keputusan mengenai penyertaan BN di Tenom pada pilihan raya akan datang tertakluk kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti menerusi rundingan dan persefahaman bersama,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, setiap parti komponen BN di Tenom juga perlu mengambil langkah memperkemas organisasi masing-masing bagi memastikan jentera parti lebih tersusun dan mantap.

Katanya, penyusunan semula struktur cawangan penting untuk memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan BN sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan politik.
Raime berkata, kekuatan organisasi dan komitmen semua parti komponen menjadi antara aspek penting dalam memastikan BN terus berupaya mendekati rakyat serta memperjuangkan keperluan mereka.
“Apabila tiba masanya, BN Tenom bersedia menggalas amanah yang diberikan. Kita bukan sekadar mahu bersuara, tetapi mahu bekerja dan membuktikan kemampuan kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
