ANGKASA, Analytx Meterai MoU Tampil Dengan Inisiatif Baharu – Abdul Fattah

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menerusi MyANGKASA Bina Sdn Bhd (MBSB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Analytx Sdn Bhd bagi memperluas kemudahan pembelian peralatan elektrik jenama LG kepada pembeli rumah di bawah kendalian MBSB.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, pemilikan rumah bukan sahaja melibatkan kemampuan menyediakan wang pendahuluan dan membayar ansuran bulanan malah pembeli turut perlu merancang perbelanjaan bagi menyediakan kelengkapan asas kediaman.

Menurutnya, keperluan seperti peti sejuk, mesin basuh, televisyen dan peralatan elektrik lain boleh menjadi komitmen tambahan, khususnya kepada pembeli rumah pertama, golongan muda serta keluarga yang baru memulakan kehidupan di kediaman sendiri.

“Usaha membantu rakyat memiliki rumah perlu dilihat secara lebih menyeluruh. Kita bukan sahaja mahu lebih ramai rakyat berpeluang membeli kediaman tetapi kita juga mahu mereka dapat mengurus perbelanjaan selepas pembelian dengan lebih teratur dan berkemampuan

“Kerjasama strategik itu bertujuan menawarkan pakej kelengkapan rumah pada harga berpatutan dan kompetitif, sekali gus membantu pembeli melengkapkan kediaman masing-masing dengan lebih mudah dan terancang selepas memperoleh rumah.

“Ianya berpotensi memperkukuh model perniagaan MBSB dengan menggabungkan perkhidmatan hartanah dan penawaran kelengkapan kediaman menerusi pakej yang bersesuaian dengan keperluan serta kemampuan pembeli,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan kerjasama tersebut perlu mengambil kira kelayakan pelanggan, kemampuan pembayaran serta terma yang jelas bagi memastikan kemudahan ditawarkan benar-benar memberi manfaat tanpa menambah beban kewangan yang tidak mampu ditanggung.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO menjelaskan, kemudahan bayaran ansuran melalui skim potongan gaji ANGKASA atau kaedah pembiayaan yang bersesuaian juga berpotensi membantu pembeli mengurus perbelanjaan ketika berpindah ke kediaman baharu.

“Ukuran yang lebih penting ialah sejauh mana kerjasama tersebut dapat diterjemahkan kepada hasil perniagaan yang mampan dan memberi manfaat yang benar-benar dirasai pelanggan.

“Kedua-dua pihak dapat membangunkan pakej peralatan elektrik mengikut segmen pembeli, menawarkan harga yang munasabah serta menyediakan kaedah pembayaran yang fleksibel bagi memperluas capaian kepada lebih ramai pembeli rumah,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO