Wan Rosdy Tegas Komitmen Jaga Kebajikan Rakyat Pahang

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Kerajaan Negeri Pahang terus memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat menerusi penyaluran sumbangan berjumlah RM373,316.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk sentiasa cakna terhadap keperluan rakyat.

“Hari ini saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang yang diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Maran. Sebelum itu, saya menyerahkan cek sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM373,316 kepada 19 orang wakil dan penerima.

“Bagi Tok Wan, sumbangan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk sentiasa cakna terhadap keperluan rakyat.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, selaras dengan semangat Aspirasi Pahang 1st yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, menerusi perkongsian terdahulu, beliau turut berbesar hati meraikan rakan-rakan media seluruh Pahang dalam Majlis Malam Media Darul Makmur 2026 yang berlangsung di The Bayu Wedding And Event, Kuantan, malam tadi.

Menurutnya, media bukan sekadar berperanan sebagai penyampai berita, malah menjadi rakan strategik kerajaan dalam membina kefahaman masyarakat, menyampaikan maklumat yang tepat serta memastikan suara dan aspirasi rakyat terus diberikan perhatian.

“Dalam usaha membawa Pahang ke arah sebuah negeri yang lebih maju dan makmur, sokongan rakan media amat penting. Kita mungkin mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berbeza, namun matlamat kita tetap sama, iaitu untuk melihat Pahang terus berkembang demi kesejahteraan rakyat.

“Saya juga berharap hubungan baik antara Kerajaan Negeri dengan warga media akan terus diperkukuh berlandaskan sikap saling menghormati, keterbukaan dan profesionalisme,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO