Kerajaan Johor Komited Wujudkan Persekitaran Sejahtera Untuk Rakyat

JOHOR BAHRU, 19 Okt – Kerajaan Negeri Johor komited untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan sejahtera buat seluruh rakyat menerusi pengurusan haiwan liar yang lebih tersusun, berkesan dan berhemah, dengan mengambil kira aspek keselamatan awam serta kebajikan haiwan.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, usaha itu memerlukan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan dan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap aduan masyarakat ditangani dengan tindakan sewajarnya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Operasi Haiwan Liar di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bersama YB Israk Abdullah bagi memperkukuh penyelarasan operasi dan meningkatkan keberkesanan pengurusan haiwan liar di negeri ini.

“Kerajaan Negeri prihatin terhadap kebimbangan masyarakat berhubung gangguan haiwan liar di kawasan kediaman dan tempat awam. Setiap aduan perlu diberikan perhatian serta disusuli tindakan yang bersesuaian agar rakyat dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih selamat dan selesa,” katanya.

Menurutnya, setiap operasi pengurusan haiwan liar perlu dilaksanakan secara profesional, berhemah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, petugas dan kontraktor yang terlibat juga perlu dilengkapi latihan serta peralatan bersesuaian bagi memastikan keselamatan orang awam, petugas dan kebajikan haiwan sentiasa terpelihara sepanjang operasi dijalankan.

“Keselamatan manusia serta kebajikan haiwan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan tindakan berhemah, kerjasama erat dan pemantauan berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengurusan haiwan liar perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk penyediaan pusat transit yang sesuai, penjagaan kesihatan, program kembiri dan usaha adopsi dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak veterinar.

Jelasnya, pendekatan berterusan dan terancang amat penting bagi mengawal populasi haiwan serta memastikan haiwan yang dikendalikan menerima penjagaan sewajarnya.

Beliau turut meminta PBT memperkukuh penyelarasan bersama Pejabat Daerah dan agensi berkaitan, termasuk dalam menangani isu haiwan liar di kawasan kampung.

Katanya, penyeragaman SOP, penyatuan data serta penelitian terhadap penggunaan teknologi perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kecekapan, ketertiban dan keberkesanan pelaksanaan operasi.

“Selaras dengan agenda Maju Johor di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Johor, Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan persekitaran yang selamat dan sejahtera buat seluruh rakyat melalui pengurusan yang sistematik, kerjasama bersepadu dan tindakan yang bertanggungjawab,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO