Ketua Menteri Untuk Semua, Ab Rauf Terus Santuni Rakyat

MELAKA, 19 Okt – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, budaya dan kepercayaan.

Beliau berkata, kepelbagaian kaum di Melaka bukan pemisah, sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan masyarakat di negeri itu.

“Kepelbagaian kaum bukan pemisah, tetapi kekuatan yang menyatukan kita di Melaka,” katanya.

Menerusi kunjungan pada malam tadi, Ab Rauf menyantuni masyarakat Tionghua di Tokong Pak Tiam Keong, Jalan Bachang, sebelum dijemput menandatangani plak sempena ulang tahun ke-100 tokong berkenaan.

Dalam suasana mesra itu, beliau turut mengambil kesempatan bertanya khabar serta mendengar sendiri suara masyarakat Tionghua di Melaka.

“Inilah Melaka yang saya mahu. Kita boleh berbeza budaya, bahasa dan kepercayaan, tetapi kita tetap satu keluarga besar sebagai rakyat Melaka,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri akan terus bekerja untuk semua rakyat dengan memberi tumpuan kepada kemajuan negeri, pertumbuhan ekonomi, pertambahan peluang pekerjaan serta peningkatan kehidupan rakyat.

Selepas itu, beliau singgah di Bachang Avenue Foodcourt bagi menyantuni komuniti peniaga dan pengunjung Tionghua, selain menghadiahkan apron istimewa bertulis ‘Siapa Lagi Tok Rauf Ler’.

Ab Rauf kemudiannya menyertai Jamuan Santai di Roti Canai Terbang Mezan Kampung Enam, yang menurutnya mempunyai potensi untuk menjadi lokasi destinasi pelancongan makanan di Melaka.

Dalam pada itu, beliau mahu politik di Melaka kekal matang dengan perbezaan pandangan ditangani melalui perbincangan idea, bukannya fitnah.

“Apapun, saya mahu politik di Melaka kekal matang. Kita lawan idea dengan idea, bukan fitnah dengan fitnah. Jangan kerana perbezaan politik, kita sampai bermusuh dan memecah-belahkan masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perpaduan perlu menjadi keutamaan dalam usaha membangunkan Melaka serta memastikan masa depan generasi akan datang terus terpelihara.

“Sekarang bukan masa untuk kita mencari perbezaan. Ini masa untuk kita bersatu, bina Melaka dan fikir masa depan anak cucu kita,” katanya.

Ab Rauf berkata, sejak awal memimpin Melaka, beliau konsisten menegaskan bahawa tanggungjawabnya merangkumi seluruh rakyat negeri itu tanpa mengira latar
belakang kaum.

“Sejak awal saya memimpin Melaka, saya selalu sebut perkara yang sama, saya adalah Ketua Menteri untuk semua!

“Tak kira Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chetti, Portugis, Orang Asli atau mana-mana kaum sekalipun, semua 1.05 juta rakyat Melaka tetap menjadi perhatian dan tanggungjawab saya. Selagi kita rakyat Melaka, selagi itu kita adalah keluarga.

“Melaka Sayang Rakyat. Saya Sayang Rakyat Melaka!” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO