Gelombang Biru Tanjong Malim Perkukuh Jentera, Rakyat Jadi Keutamaan

TANJONG MALIM, 19 Okt – Semangat Gelombang Biru menyemarakkan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Tanjong Malim yang menghimpunkan pemimpin, sahabat seperjuangan serta jentera parti dari Behrang, Slim dan Sungkai dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kebersamaan.

Majlis yang disempurnakan oleh Datuk Seri Saarani Mohamad itu bukan sekadar memperlihatkan kesiapsiagaan jentera BN, malah menjadi medan memperkukuh hubungan antara pemimpin dan akar umbi, termasuk menghargai sumbangan mereka yang telah lama berjuang bersama parti serta membimbing generasi baharu.

ADUN Behrang, Salina Samsudin, menyifatkan pertemuan itu sebagai suntikan semangat untuk terus memperkukuh khidmat kepada masyarakat, dengan menegaskan bahawa tanggungjawab seorang wakil rakyat tidak terhenti pada soal politik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada penduduk.

Menurut beliau, pelbagai perkara di peringkat setempat masih memerlukan perhatian berterusan, termasuk urusan penduduk, kemudahan kampung, kebajikan keluarga dan aduan masyarakat yang perlu ditangani sebaik mungkin.

“Bagi saya, tanggungjawab sebagai wakil rakyat tetap sama. Apa pun warna politik seseorang, apabila datang membawa masalah rakyat, tanggungjawab saya tetap untuk mendengar, mengusahakan penyelesaian dan membantu setakat yang termampu,” katanya.

Salina berkata, hubungan erat antara pemimpin, jentera parti dan masyarakat perlu terus dipelihara kerana kekuatan sesebuah perjuangan bukan hanya bergantung pada jumlah kehadiran dalam sesuatu program, tetapi juga pada kesungguhan melaksanakan tanggungjawab selepas majlis berakhir.

Katanya, setiap aduan yang disampaikan rakyat perlu diberikan perhatian sewajarnya, manakala usaha membantu masyarakat mesti diteruskan tanpa membataskan layanan berdasarkan perbezaan fahaman politik.

“Yang paling penting, apabila rakyat memerlukan bantuan, kita jangan memilih siapa mereka. Dengar masalah mereka, cari jalan untuk membantu dan usahakan apa yang termampu. Itulah amanah yang perlu kita pegang,” katanya.

Dalam pada itu, Salina turut menghargai kehadiran Datuk Seri Saarani yang menyampaikan sokongan dan amanat kepada jentera BN Tanjong Malim, selain mengiktiraf komitmen semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim, Mohd Zaidi Aziz, serta seluruh jentera yang hadir dari Behrang, Slim dan Sungkai.

Menurutnya, pengalaman golongan lama yang telah berpuluh tahun bersama perjuangan parti perlu terus dihargai, manakala golongan muda wajar dibimbing dan diberikan ruang untuk menyumbang tenaga serta idea.

“Yang lama kita hargai, yang baharu kita bimbing. Kita perlu menjaga hubungan sesama sendiri kerana kekuatan perjuangan datang daripada kesatuan, sikap saling menghormati dan kesediaan untuk bekerja bersama-sama,” katanya.

Beliau berharap semangat kebersamaan yang ditunjukkan pada majlis itu dapat diteruskan melalui gerak kerja yang tersusun, hubungan yang baik dengan masyarakat dan komitmen berterusan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Bagi Salina, kemeriahan Gelombang Biru hanya akan membawa makna sebenar apabila semangat yang dizahirkan dapat diterjemahkan kepada khidmat yang konsisten, keprihatinan yang tulus dan usaha berterusan demi kesejahteraan rakyat Behrang serta penduduk Parlimen Tanjong Malim. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO