Dakwaan ‘Sakau’ RM2.1 Bilion Tidak Wajar Timbul

JOHOR BAHRU, 16 Okt. – Dakwaan ‘sakau’ membabitkan perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak seharusnya ditimbulkan tanpa penjelasan menyeluruh, sebaliknya isu berkenaan perlu dilihat dari sudut tatakelola pengurusan kewangan dan pelaksanaan projek kerajaan.

Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, berkata penjelasan terperinci daripada pihak berkaitan amat penting bagi memastikan isu lebihan perbelanjaan itu difahami berdasarkan fakta dan tidak terus dipolitikkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha KKDW mengeluarkan kenyataan bersama bagi menjelaskan kedudukan sebenar isu berkenaan kepada rakyat.

“Tak ada langsung cerita sakau RM2.1 bilion ini. Jadi, apa yang berlaku adalah tentang tatakelola pengurusan kewangan. Memang mungkin tak ada bajet tambahan, tetapi dalam pelaksanaan projek kerajaan, di tengah-tengah itu akan berlaku masalah,” katanya.

Sebelum ini, beliau telah membahaskan isu terbabit di Dewan Rakyat, sambil menjelaskan bahawa pelaksanaan projek kerajaan yang mengambil masa beberapa tahun boleh berdepan pelbagai kekangan sehingga memerlukan perubahan skop atau pelarasan kos.

Menurutnya, sebagai contoh, projek pembinaan sekolah yang diluluskan dengan kos asal RM120 juta boleh berdepan halangan ketika pelaksanaan, sekali gus memerlukan perubahan tertentu melalui mekanisme Notice of Change (NOC).

Jelas beliau, sebarang pelarasan berkenaan perlu melalui proses dan saluran kelulusan yang ditetapkan, termasuk rujukan kepada agensi berkaitan serta Kementerian Kewangan sekiranya melibatkan perubahan skop, peningkatan kos atau penambahan siling peruntukan.

“Jadi, tak ada cerita pasal duit hilang ni. Sakau-sakau tak ada ni. Jadi, kerja bawa benda ni ke SPRM ni memang kelakar,” katanya.

Dalam pada itu, Manndzri turut menyokong cadangan supaya Kementerian Kewangan menyenaraikan semua projek yang terlibat berserta kos asal dan kos tambahan masing-masing sejak 2022, sebelum maklumat tersebut diedarkan kepada semua Ahli Parlimen.

Katanya, langkah itu dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai pelaksanaan projek serta perubahan peruntukan yang berlaku, sekali gus membolehkan perkara berkenaan dinilai secara menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa penjelasan rasmi daripada pihak berkaitan penting bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan isu pengurusan kewangan tidak terus dijadikan bahan polemik politik.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan bersedia menjalankan siasatan sekiranya menerima aduan rasmi berhubung dakwaan perbelanjaan berlebihan berjumlah RM2.1 bilion oleh KKDW. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO