Peningkatan Tangkapan Cerminan Usaha Risikan Dan Penguatkuasaan PDRM
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Peningkatan jumlah kes dan tangkapan berkaitan dadah di Sarawak turut mencerminkan peningkatan aktiviti risikan, operasi dan pengesanan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, statistik penguatkuasaan perlu ditafsir secara berhati-hati kerana peningkatan angka berkenaan bukan semata-mata menggambarkan peningkatan penyalahgunaan dadah, sebaliknya turut dipengaruhi tindakan terhadap sindiket dan pengedar.
Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, sebanyak 9,992 kes dengan 10,378 tangkapan direkodkan di Sarawak pada 2024 dan jumlah itu meningkat kepada 12,716 kes dengan 13,187 tangkapan pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 2,809 tangkapan atau 27.0 peratus.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2026 pula, sebanyak 9,602 kes dengan 9,924 tangkapan direkodkan berbanding 7,488 kes dengan 7,790 tangkapan bagi tempoh sama pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 2,134 tangkapan atau 27.4 peratus,” katanya.
Terdahulu Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sebab salah guna dadah kian berleluasa dan synthetic drug telah membanjiri bandar-bandar dan pekan-pekan di Sarawak, adakah cara PDRM memerangi salah guna dadah setakat ini berkesan dan apakah kaedah-kaedah baharu yang akan dilaksanakan untuk mencapai matlamat.
Shamsul seterusnya menambah peningkatan aktiviti risikan, operasi, pengesanan dan tindakan terhadap sindiket serta pengedar turut menunjukkan keupayaan PDRM mengesan dan menyekat sejumlah besar bekalan dadah daripada memasuki pasaran.
Dari aspek rampasan, tambahnya nilai keseluruhan dadah yang dirampas PDRM Sarawak bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berjumlah RM50.01 juta berbanding RM58.78 juta bagi tempoh sama pada 2025.
Shamsul Anuar berkata, ancaman penyalahgunaan dan pengedaran dadah sintetik di Sarawak semakin kompleks dan dinamik berikutan perubahan corak penyalahgunaan, kemunculan dadah sintetik serta bahan psikoaktif baharu dan perubahan modus operandi sindiket yang memanfaatkan teknologi serta saluran pengedaran baharu.
Katanya, kedudukan geografi Sarawak yang luas dengan jaringan sempadan darat, laut dan udara turut menjadikan kawalan kemasukan serta pengedaran dadah sebagai cabaran yang memerlukan tindakan penguatkuasaan dan risikan secara berterusan.
Beliau berkata, penyebaran dadah sintetik turut dipengaruhi beberapa faktor, antaranya kos pemprosesan yang lebih rendah, kemudahan mendapatkan bahan kimia prekursor serta keupayaan sindiket mengeksploitasi platform dalam talian, media sosial, perkhidmatan kurier dan p-hailing untuk mencapai pasaran tempatan termasuk kawasan pedalaman.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM sedang memperkukuh pendekatan penguatkuasaan menerusi risikan berasaskan data, pemantauan ruang digital, operasi bersepadu antara agensi serta pengukuhan kawalan di pintu masuk dan laluan sempadan.
“Operasi seperti OP Tapis dan OP Tapis Khas turut dipergiatkan di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman Sarawak dengan kerjasama PDRM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), selain penggunaan teknologi pemantauan yang bersesuaian.
“Pada masa sama, KDN memperkukuh keupayaan forensik dan risikan teknikal bagi mengenal pasti kemunculan New Psychoactive Substances (NPS), termasuk perubahan trend bahan sintetik baharu, di samping meneliti keperluan memperkukuh peruntukan perundangan bagi menangani bahan psikoaktif baharu yang sentiasa berubah,” ujarnya.
Shamsul Anuar berkata, usaha membanteras dadah tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong pendekatan pencegahan, pendidikan dan advokasi bagi mengurangkan permintaan serta melindungi masyarakat daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah.
“Dalam hal ini, JSJN Sarawak turut memberi penekanan kepada aspek pencegahan dan kesedaran menerusi 71 aktiviti yang dilaksanakan sepanjang 2026, melibatkan program dialog, pameran dan ceramah.
“Kerjasama melalui One Stop Committee bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (OSC MIDS) di peringkat negeri turut diperkukuh menerusi pendekatan menyeluruh yang melibatkan agensi penguatkuasaan, AADK, sektor kesihatan dan pendidikan, pemimpin masyarakat serta komuniti.
“Pendekatan berkenaan merangkumi usaha mengurangkan bekalan dan permintaan, pencegahan, rawatan, pemulihan serta reintegrasi
sosial,” tambahnya.- UMNO Online
