Negeri Sembilan Komited Rancang Pembangunan Negeri Mampan

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk merancang pembangunan negeri secara menyeluruh dan mampan, kata Menteri Besarnya, Datuk Ismail Lasim.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ismail memaklumkan beliau telah menghadiri Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

“Pada Isnin saya menghadiri Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-51 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bersama-sama Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Menteri Persekutuan berkaitan.

“MPFN merupakan majlis tertinggi yang bertanggungjawab terhadap perancangan bandar dan desa di Semenanjung Malaysia.

“Mesyuarat kali ini meneliti pelbagai perkara berkaitan pembangunan fizikal negara termasuk perancangan guna tanah dan Rancangan Struktur Negeri selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menegaskan bahawa kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting untuk memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri amat penting bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara terancang dan mampan. Usaha ini turut menyokong ekosistem pelaburan yang lebih kukuh serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Negeri Sembilan akan terus komited merancang pembangunan negeri secara menyeluruh dan mampan demi merealisasikan aspirasi Negeri Sembilan yang Stabil, Maju serta Makmur,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO