21,236 Rakyat Johor Terima Bantuan Perumahan RM84.19 Juta
JOHOR BAHRU, 12 Okt – Kerajaan Negeri Johor terus komited membantu rakyat memiliki kediaman sendiri menerusi Inisiatif Perumahan Kasih Johor yang menyaksikan seramai 21,236 penerima mendapat manfaat dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM84.19 juta sejak Fasa 1 hingga Fasa 6.
Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pelaksanaan Fasa 6 yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Stadium Arena Larkin baru-baru ini yang melibatkan 6,110 penerima dengan peruntukan RM24.215 juta.
Daripada jumlah itu, seramai 3,700 penerima menerima Bantuan Beli Rumah sebanyak RM5,000 setiap seorang, 620 penerima Bantuan Masuk Rumah sebanyak RM2,000 dan 1,790 penerima Bantuan Sewa Rumah sebanyak RM2,500.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan beban rakyat, khususnya keluarga yang berdepan kos pembelian rumah, perpindahan dan sewaan kediaman.
“Usaha ini lahir daripada keprihatinan YAB Menteri Besar yang mahu memastikan kemajuan Johor turut dirasai rakyat melalui bantuan yang memberi manfaat langsung kepada kehidupan mereka.
“Agenda Maju Johor bukan sekadar pembangunan negeri, tetapi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 25,791 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) telah siap bagi tempoh 2022 hingga suku ketiga 2026, manakala baki 4,209 unit disasarkan siap pada suku keempat tahun ini bagi mencapai sasaran 30,000 unit.
Kerajaan negeri turut menyasarkan tambahan 70,000 unit RMMJ ke arah mencapai keseluruhan 100,000 unit menjelang 2030, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pasangan muda dan keluarga berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.
Mohd Jafni berkata, pihaknya turut memberi perhatian kepada pemohon yang belum menerima Bantuan Perumahan Kasih Johor, termasuk isu dokumen tidak lengkap, tarikh perjanjian jual beli, penyerahan kunci, pemilikan rumah sedia ada dan syarat kelayakan.
Beliau menegaskan urusan semakan perlu dilaksanakan secara teliti dan penjelasan kepada rakyat hendaklah dipermudah supaya setiap pemohon memahami status serta kedudukan permohonan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan permohonan serta penyelarasan penyaluran bantuan.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda perumahan, memantau pelaksanaan program dan menambah baik penyampaian perkhidmatan demi memastikan kebajikan Bangsa Johor sentiasa terbela. – UMNO Online
