UMNO Selangor Perhebat Penerangan, Sasar Rampas Kembali Pentadbiran Negeri
KUALA LUMPUR, 10 Okt – UMNO Selangor terus mempergiat gerak kerja penerangan di semua peringkat sebagai persiapan menghadapi pilihan raya dan usaha merampas kembali pentadbiran negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, pendekatan penerangan bukan sahaja perlu diperkukuh menerusi platform digital, malah kaedah tradisional juga perlu diteruskan bagi memastikan maklumat sampai kepada rakyat secara menyeluruh.

“Walaupun kita memperhebat penerangan secara digital, pendekatan tradisional juga tidak boleh ditinggalkan. Penerangan perlu disebarkan dengan apa jua cara,” katanya.
Menurut beliau, kebangkitan UMNO di Selangor semakin dirasai dan semangat itu perlu terus disemarakkan menerusi usaha memberikan penjelasan kepada rakyat di seluruh negeri.
Katanya, gerak kerja penerangan yang dilaksanakan ketika ini merupakan sebahagian daripada persiapan bagi mengukuhkan kedudukan parti serta membina semula sokongan rakyat terhadap UMNO.
“Gelombang Biru akan diteruskan di Selangor. Kita kini bersiap siaga melaksanakan persiapan untuk merampas kembali pentadbiran negeri,” katanya.
Beliau berkata, penyebaran maklumat secara berterusan penting bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan mengenai perjuangan dan hala tuju parti, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap UMNO.
Sehubungan itu katanya, jentera penerangan akan terus digerakkan di semua peringkat dengan memanfaatkan pelbagai pendekatan bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
Katanya, usaha berkenaan menjadi antara langkah UMNO Selangor memperkukuh kesiapsiagaan parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang serta meneruskan agenda kebangkitan Gelombang Biru di negeri itu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata demikian ketika Program Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia peringkat Negeri Selangor dan Negeri Sembilan di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omar Din; Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi; Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain; Ketua penerangan UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi dan ketua-ketua penerangan empat peringkat Selangor dan Negeri Sembilan. – UMNO Online
