SDG: Penyelarasan, Kerjasama Semua Pihak Terus Diperkukuh

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Penyelarasan dan kerjasama antara semua pihak akan terus diperkukuh untuk memastikan agenda Sustainable Development Goals (SDG) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah memaklumkan Mesyuarat Penyelarasan SDG Bersasar yang berlangsung pada Khamis memberi tumpuan untuk memastikan ia memberi impak jelas kepada rakyat.

“Petang Khamis, baru sahaja selesai Mesyuarat Penyelarasan SDG Bersasar di Parlimen Malaysia.

“Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penyelarasan agenda SDG, khususnya dalam memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara lebih bersasar dan memberi impak yang jelas kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, kejayaan pelaksanaan SDG diukur melalui dasar, program dan tindakan yang memberi manfaat serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Bagi saya, agenda pembangunan mampan bukan sekadar pencapaian sasaran di atas kertas, tetapi bagaimana ia dapat diterjemahkan kepada dasar, program dan tindakan yang benar-benar memberi manfaat serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Insya-Allah, penyelarasan dan kerjasama antara semua pihak akan terus diperkukuh bagi memastikan agenda ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya lagi.

Untuk rekod, SDG atau Matlamat Pembangunan Mampan merupakan agenda global yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015, merangkumi 17 matlamat dan 169 sasaran yang perlu dicapai menjelang 2030.

Agenda itu merangkumi pelbagai aspek pembangunan, termasuk pembasmian kemiskinan, peningkatan akses kepada pendidikan dan kesihatan, pengurangan ketidaksamaan, pertumbuhan ekonomi mampan serta perlindungan alam sekitar.

Pelaksanaannya memerlukan penyelarasan dasar dan kerjasama pelbagai pihak, termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan bersifat inklusif serta memberi manfaat kepada rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO