Hentikan Budaya Buli, Jangan Berdiam Diri – Rosnah
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Budaya buli tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya menuntut keberanian mangsa dan saksi untuk tampil melaporkan kejadian serta komitmen semua pihak bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk anak-anak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sudah tiba masanya seluruh komuniti bersatu dan mengambil tindakan tegas bagi membendung budaya buli daripada terus berleluasa.
Menurut beliau, mangsa dan saksi tidak seharusnya berdiam diri apabila berdepan atau menyaksikan kejadian buli, sebaliknya perlu menggunakan saluran yang tersedia untuk membuat laporan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Buli bukan perkara kecil. Jangan tunggu sehingga sesuatu yang buruk berlaku. Bersama-sama kita hentikan buli.
“Sudah tiba masanya seluruh komuniti bersatu untuk menghentikan budaya buli. Ada saluran, jadi jangan senyap dan jangan berdiam diri… laporkan.
“Mangsa dan saksi perlu berani tampil melaporkan sebarang kejadian buli atau gangguan. Pihak sekolah pula perlu mengambil setiap laporan dengan serius terima, siasat dan ambil tindakan. Jangan biarkan sesuatu kes berlalu begitu sahaja,” katanya.
Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar berkata, pihak sekolah turut memainkan peranan penting dengan memastikan setiap aduan buli atau gangguan diterima, disiasat dan diambil tindakan secara serius.
“Apabila sekolah, ibu bapa dan seluruh komuniti memainkan peranan masing-masing, kita dapat membina persekitaran yang lebih selamat untuk anak-anak.
Mengulas lanjut, Rosnah menegaskan peranan ibu bapa juga tidak boleh diketepikan dalam usaha membanteras budaya buli, khususnya dengan memantau tingkah laku anak-anak dan membina komunikasi terbuka bersama mereka.
“Peranan ibu bapa juga amat penting. Pantau anak-anak dan sentiasa luangkan masa untuk berkomunikasi dengan mereka, termasuk bertanya bagaimana keadaan mereka setiap kali pulang dari sekolah.
“Jika anak kita terlibat sebagai pembuli, jangan menutup mata atau mempertahankan perbuatan yang salah. Tegur, didik dan ambil tindakan,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyuarakan pandangan bahawa pelajar perlu tahu mereka mempunyai saluran untuk mendapatkan bantuan jika laporan mengenai kejadian buli atau gangguan tidak mendapat tindakan sewajarnya daripada pihak sekolah.
Azalina turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes keganasan membabitkan golongan muda, khususnya wanita yang menjadi mangsa, termasuk dalam situasi membabitkan individu yang saling mengenali.- UMNO Online
