PRN Melaka: Tolak Politik Kebencian, Hasutan Dan Fitnah
MELAKA, 7 Okt — Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menyeru semua parti politik dan jentera pilihan raya supaya menghindari kempen berunsur kebencian, hasutan serta fitnah sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, proses demokrasi perlu berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan matang tanpa mana-mana pihak menggunakan politik kebencian untuk melemahkan lawan atau menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dengan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.

Menurut Ab Rauf, rakyat Melaka kini memasuki satu lagi fasa penting menuju hari penamaan calon dan hari pengundian, justeru semua pihak perlu menghormati proses demokrasi serta mengutamakan kepentingan rakyat.
“Saya menyeru kepada rakyat Melaka supaya berada dalam keadaan penuh sabar, tenang dan yakin bahawa proses demokrasi ini berjalan dalam keadaan yang baik, aman dan harmoni.
“Bagi saya, BN tidak akan menjalankan dan menasihatkan semua jentera supaya sebaik mungkin menghindarkan politik jahat, hasutan atau kebencian. Ini bukan cara kita dalam menyemai kasih sayang kepada rakyat, sebaliknya kita mahu menyemaikan sifat-sifat yang murni,” katanya dalam sidang media hari ini.
Ab Rauf berkata, kempen politik seharusnya tidak dicemari dengan fitnah, kebencian atau serangan yang bertujuan melemahkan mana-mana parti, sebaliknya memberi ruang kepada rakyat membuat pilihan berdasarkan kemampuan dan tawaran setiap parti.
Beliau turut mengakui masih terdapat parti politik yang menggunakan pendekatan politik kebencian serta mencari kesalahan pihak lain, yang menurutnya tidak memberikan sebarang keuntungan kepada rakyat.
“Saya harap dalam masa kempen nanti tidak ada kempen bersifat fitnah, kebencian dan yang berunsur jahat untuk melemahkan mana-mana parti.
“Saya yakin rakyat Melaka telah masuk ke satu proses yang lebih matang iaitu menentukan kerajaan mana yang mereka hendak pilih dan kerajaan mana yang mereka akan pilih untuk menjadikan negeri Melaka lebih maju,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kestabilan dan keharmonian Melaka perlu dipelihara sepanjang tempoh pilihan raya, termasuk daripada pengaruh pihak luar yang dikhuatiri boleh mencetuskan prasangka serta mengganggu keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, usaha membangunkan Melaka sebelum ini telah membuahkan hasil dalam sektor pelancongan, ekonomi serta kehidupan rakyat yang harmoni.
“Saya tidak mahu orang luar datang berkempen dan mengganggu keharmonian ini serta meletakkan prasangka kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru jentera BN supaya mengelakkan sebarang unsur hasutan, kebencian, fitnah atau tindakan yang bersifat jahat demi kepentingan politik.
Ab Rauf berkata, PRN Melaka bukan sekadar medan menentukan kerajaan negeri, sebaliknya merupakan satu proses yang akan menentukan masa depan generasi akan datang. – UMNO Online
