PRN Melaka: Wanita Majoriti Pengundi, Perkukuh Peranan Kepimpinan
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Seramai 348,849 pengundi wanita, atau 50.73 peratus daripada keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, menjadikan wanita sebagai golongan majoriti dalam kalangan pengundi di Melaka, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah.
Katanya, angka ini memperlihatkan betapa pentingnya suara dan penyertaan wanita dalam menentukan masa depan negeri, daripada perbincangan dasar kepada kepimpinan dan proses membuat keputusan.
“Wanita mempunyai pengalaman, pandangan dan keperluan yang pelbagai. Aspirasi mereka merangkumi pekerjaan, perniagaan, pendidikan, keselamatan, kesejahteraan keluarga serta pembangunan negeri. Semua ini perlu didengar dengan serius dan diterjemahkan kepada tindakan yang hasilnya dapat dinilai.
“Jumlah pengundi wanita yang besar turut membawa tanggungjawab yang besar. Suara wanita perlu didengar. Sumbangan mereka perlu dihargai. Keupayaan mereka perlu diberikan ruang untuk memimpin.
“Apabila wanita membentuk lebih separuh pengundi Melaka, persoalan tentang keterwakilan mereka dalam kepimpinan juga wajar dibincangkan. Bersediakah melihat wanita mengisi 50 peratus pencalonan pada PRN kali ini. Penghargaan terhadap wanita akan lebih bermakna apabila disertai peluang untuk memikul amanah dan terlibat secara langsung dalam menentukan hala tuju negeri,” katanya.
Dalam konteks kepimpinan wanita BN di Melaka, Haryaty yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Kalsom Noordin, Datuk Tuminah Kardi, Datuk Siti Faizah Abdul Azis dan Datuk Khaidhirah Abu Zahar atas komitmen serta khidmat yang dicurahkan kepada masyarakat sejak November 2021.
“Bidang tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka merangkumi pembangunan wanita, keluarga dan komuniti; keusahawanan, koperasi dan kepenggunaan; kesihatan, sumber manusia dan perpaduan; serta pelaburan, perindustrian dan pembangunan TVET.
“Kepelbagaian tanggungjawab ini memperlihatkan luasnya peranan wanita dalam agenda sosial dan ekonomi negeri,” katanya lagi.
Dalam masa sama, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, amanah tersebut turut mencerminkan kepercayaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, terhadap keupayaan pemimpin wanita untuk menyumbang dalam pentadbiran negeri.
“Khidmat kepada masyarakat menuntut kesabaran untuk mendengar, kesungguhan untuk bertindak dan ketekunan untuk mengikuti sesuatu persoalan sehingga mendapat penyelesaian. Setiap usaha yang membawa manfaat kepada rakyat wajar dihargai.
“Semoga mereka terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan ruang untuk berkhidmat. Penghargaan terhadap kepimpinan wanita perlu disertai peluang yang bermakna untuk membentuk dasar, membuat keputusan dan melaksanakan amanah,” ujarnya. – UMNO Online.
