PRN Melaka: UMNO Tangga Batu Rapatkan Saf, Perkukuh Jentera

MELAKA, 7 Okt – UMNO Bahagian Tangga Batu memberi tumpuan kepada usaha memperkemas gerak kerja dan memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, penekanan itu diberikan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Tangga Batu malam tadi.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan bukan sekadar medan menyemak gerak kerja yang telah dilaksanakan, tetapi turut menjadi ruang untuk barisan kepimpinan berkongsi pandangan dan menyusun perancangan bagi memastikan jentera terus diperkukuhkan.

“Kita duduk bersama, semak gerak kerja, berkongsi pandangan dan menyusun perancangan untuk terus memperkukuhkan jentera.”

Rais turut mengingatkan semua peringkat supaya tidak terlalu sibuk mencari kesalahan atau menuding jari, sebaliknya menggunakan masa dan tenaga untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Kita tidak perlu terlalu sibuk mencari kesalahan atau menyalahkan sesiapa. Sebaliknya, marilah kita gunakan masa dan tenaga yang ada untuk memperbaiki kelemahan dan memperkukuhkan gerak kerja.”

Menurutnya, Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Ketua Cawangan mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan jentera di kawasan masing-masing sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

Beliau berkata, kekuatan setiap PDM dan cawangan perlu dikenal pasti, manakala sebarang kelemahan perlu diperbaiki supaya gerak kerja parti dapat dilaksanakan hingga ke akar umbi dan terus dekat dengan masyarakat.

Dalam masa sama, Rais berkata setiap pandangan serta cadangan daripada barisan AJK amat bernilai dalam usaha memastikan UMNO Tangga Batu mempunyai jentera yang benar-benar berfungsi sebagai satu pasukan.

“Kita bukan sekadar mahu sebuah organisasi yang kuat di atas kertas, tetapi sebuah jentera yang benar-benar bergerak, bekerja sebagai satu pasukan, dekat dengan rakyat dan memahami denyut nadi masyarakat.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua AJK yang terus memberikan komitmen dan kesungguhan dalam menggerakkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Menjelang PRN Melaka, Rais menegaskan bahawa fokus kini adalah untuk merapatkan saf, memperkukuhkan jentera dan terus bekerja untuk rakyat.

“Kurangkan mencari salah, perbanyakkan usaha memperbaiki. Rapatkan saf, perkukuhkan jentera dan terus bekerja untuk rakyat.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO