JABHAH Gesa Tindakan Tegas Terhadap Individu Cemari Kesucian Masjid
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Jabhah Ilmuwan Muda Malaysia (JABHAH) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati mencemarkan kesucian Masjid Al-Aziz Al-Hadi Kota SPP Warisan di Tumpat, Kelantan.
JABHAH dalam kenyataan rasmi berkata, pihaknya memandang serius kejadian yang dikatakan berlaku di masjid berkenaan seperti yang tular menerusi video di media sosial baru-baru ini.

“Masjid bukan sekadar sebuah bangunan biasa, bahkan ia merupakan rumah Allah SWT, tempat ibadah dan syiar bagi agama Islam yang wajib dihormati serta dipelihara kesuciannya,” menurut kenyataan itu.
JABHAH yang dipengerusikan oleh Mohamad Anas Mohamad Naem berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja menyinggung sensitiviti umat Islam, malah berpotensi menjejaskan ketenteraman, kebersihan dan kehormatan masjid.
Sehubungan itu, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan segera dan sewajarnya berdasarkan undang-undang serta peraturan yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan perbuatan berkenaan.
Dalam pada itu, JABHAH turut menyeru pihak pengurusan masjid dan surau meningkatkan aspek keselamatan, pemantauan, kebersihan serta kawalan akses bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Kebebasan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina atau mencemarkan rumah ibadah.
“Apa sahaja perbuatan yang dilakukan di masjid hendaklah mengambil kira kesucian tempat tersebut serta hak jemaah untuk beribadah dalam suasana yang aman, bersih dan terpelihara,” katanya. – UMNO Online
