Melaka Sayang Rakyat, Ab Rauf Bersama Warga Paya Rumput

MELAKA, 6 Okt – Keakraban pemimpin bersama rakyat terus dizahirkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh apabila meluangkan masa bersarapan dan beramah mesra bersama warga DUN Paya Rumput di Warung Teh Madu Bard Melaka, pagi tadi.

Bagi Ab Rauf, kesempatan duduk semeja bersama rakyat bukan sekadar untuk bersarapan, sebaliknya menjadi ruang mendekati serta berbual secara santai bersama keluarga besar Melaka.

“Bila duduk semeja, tiada lagi batas antara pemimpin dan rakyat. Sebab bagi saya, pemimpin harus dekat dengan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, setiap kali berkunjung ke Warung Teh Madu Bard, suasana sentiasa meriah dengan kehadiran warga DUN Paya Rumput yang bersarapan di situ.

Kunjungan itu turut memberi peluang kepada Ab Rauf menyapa penduduk setempat dan berswafoto bersama orang ramai yang hadir.

Lebih mencuri perhatian apabila semua peniaga di Warung Teh Madu Bard menggayakan apron bertulis ‘Siapa Lagi Tok Rauf Ler’.

Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan kepada pemilik dan seluruh warga kerja Warung Teh Madu Bard atas layanan mesra serta hidangan yang disediakan.

Katanya, senyuman dan kehangatan sambutan daripada warga Melaka sentiasa menjadi pendorong semangat untuk beliau terus berkhidmat demi kemajuan dan kesejahteraan negeri.

“Melaka Sayang Rakyat. Saya juga sayang rakyat Melaka,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO