Tuntut SOP Terperinci, Lindungi Hak Atlet – Suhaimi Nasir

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir mencadangkan agar Kementerian Belia dan Sukan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan khusus dan terperinci mengenai permohonan dan pelaksanaan waran geledah di bawah pindaan Akta Pembangunan Sukan ini.

Menurutnya, kementerian perlu menjelaskan apakah alasan munasabah yang diperlukan sebelum sesuatu permohonan waran geledah dibuat, bukti awal yang perlu dikemukakan serta bagaimana skop penggeledahan akan ditentukan.

“Saya ingin mendapatkan jaminan daripada Kementerian Belia dan Sukan, bahawa kuasa penguatkuasaan yang diperluaskan ini tidak akan dilaksanakan secara sewenang-wenangnya dan tidak terkawal. Kita mahu penguatkuasaan yang berkesan, tetapi pada masa yang sama mesti memastikan bahawa hak dan kepentingan badan sukan, atlet serta individu yang terlibat turut dilindungi.

“Penambahan pelantikan Pegawai Penguat Kuasa di bawah Seksyen 32A telah menimbulkan beberapa persoalan. Adakah pihak kementerian akan menubuhkan satu lagi agensi baharu di bawah kementerian? Mengapa memerlukan satu lagi lapisan penguatkuasaan.

“Kita sudah mempunyai pelbagai agensi penguatkuasaan dengan kepakaran dan bidang kuasa masing-masing,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Sukan di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya, sebagai contoh, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bukan sekadar menjalankan fungsi pencegahan, rawatan dan pemulihan, tetapi turut mempunyai fungsi penguatkuasaan dan penyiasatan di bawah undang-undang berkaitan dadah. Sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Mengulas lanjut Suhaimi yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mempunyai mandat yang luas di bawah Akta Polis 1967 turut tertakluk kepada kerangka Kanun Tatacara Jenayah.

Justeru kata beliau tidak mahu berlaku keadaan di mana satu kes yang sama disiasat oleh beberapa agensi dengan bidang kuasa yang bertindih.

“Di bawah cadangan Seksyen 41A, menambah peruntukan berkaitan kuasa Menteri untuk mengisytiharkan sesebuah badan sukan sebagai menyalahi undang undang bagi tujuan membatalkan pendaftaran mana-mana badan sukan.

“Mengapa keputusan yang memberi kesan besar kepada badan sukan perlu diletakkan begitu dekat dengan kuasa politik. Sedangkan Pesuruhjaya Sukan ialah pihak yang menjalankan fungsi pentadbiran dan kawal selia Akta 576? Mengapa pindaan ini memperluaskan ruang keputusan Menteri terhadap badan sukan.

Tambah Suhaimi, peranan Menteri seharusnya adalah untuk menentukan dasar dan hala tuju pembangunan sukan, manakala pelaksanaan dan penyelarasan Akta dilaksanakan melalui Pesuruhjaya Sukan.

“Dengan penjelasan yang jelas dan terperinci daripada pihak kementerian, saya percaya Dewan Rakyat dapat menilai RUU ini dan menyokong usaha bagi memperkukuh sistem pembangunan sukan negara,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO