Kita Geng Biru: Turun Padang, Kukuhkan Gerak Kerja Akar Umbi
LENDU, 6 Oktober – Gerak kerja turun padang terus diperkukuh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid apabila beliau meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat.
Abdul Hakim terlebih dahulu membantu mempersiapkan Bilik Gerakan BN PDM Durian Daun, sebelum singgah bertemu masyarakat yang menganjurkan Pertandingan Futsal Tertutup Kampung Lendu 2026.

Pertandingan itu berlangsung dalam suasana cukup meriah apabila penyertaan bukan sahaja terdiri daripada golongan muda, malah turut melibatkan pemain veteran dan para ibu.
Keadaan itu menjadikan gelanggang futsal sebagai ruang yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dalam suasana santai dan penuh semangat kekitaan.
“Bagi saya, inilah makna sebenar turun padang. Kita bukan hanya datang untuk satu program, tetapi kita bersama masyarakat, kita bergaul dan kita lihat sendiri aktiviti yang mereka anjurkan.”
Menurut Abdul Hakim, penglibatan veteran dan para ibu dalam pertandingan tersebut turut memperlihatkan bahawa aktiviti komuniti mampu menjadi medan untuk merapatkan hubungan masyarakat.
“Kita Geng Biru bukan sekadar slogan. Semangatnya ialah kita bersama, kita buat kerja dan kita dekat dengan masyarakat. Sebab itu saya sentiasa tekankan kepentingan turun padang dan bersama orang kampung.”
Beliau berkata, dalam menghadapi persediaan PRN Melaka, gerak kerja di peringkat akar umbi perlu terus berjalan seiring dengan aktiviti kemasyarakatan.

“Bilik gerakan kita siapkan, tetapi dalam masa yang sama kita turun berjumpa masyarakat. Dua-dua ini penting. Kita mahu gerak kerja tersusun, tetapi hubungan dengan masyarakat juga mesti sentiasa dekat.”
Kehadiran Abdul Hakim dalam program berkenaan turut memberi peluang untuk beliau beramah mesra dengan penduduk serta melihat sendiri kemeriahan pertandingan yang dianjurkan komuniti Kampung Lendu.
DUN Melaka ke-15 dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16. SPR dijadual mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober bagi menetapkan tarikh-tarikh penting pilihan raya berkenaan. – UMNO Online
