Biodiesel B15 Langkah Strategik Kurangkan Diesel Petroleum – Noraini

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Pelaksanaan peningkatan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 mulai 1 Jun 2026 merupakan salah satu langkah kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada diesel petroleum melalui peningkatan penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit tempatan di samping memperkukuhkan keselamatan tenaga negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ujarnya, dengan kedudukan Malaysia sebagai antara pengeluar minyak sawit utama dunia turut memberikan kelebihan dari segi ketersediaan bahan mentah bagi menyokong pelaksanaan biodiesel secara berterusan.

“Dari aspek ekonomi dan keselamatan tenaga, penggunaan biodiesel tempatan juga dapat mengurangkan impak pendedahan negara kepada turun naik harga diesel petroleum di pasaran global, khususnya ketika berlaku ketegangan geopolitik. Keadaan ini berpotensi membantu kerajaan menguruskan perbelanjaan subsidi diesel dengan lebih berkesan.

“Kerajaan sentiasa memastikan pelaksanaan mandat B15 berasaskan bukti teknikal dan saintifik. Pada Disember 2016, Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA) telah menyokong penggunaan biodiesel sehingga B20. Kajian dan ujian lapangan yang dijalankan oleh MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) dan JAMA juga menunjukkan bahawa adunan sehingga B20 sesuai digunakan pada kenderaan diesel.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada tahun 2019 juga telah mengarahkan supaya semua kenderaan diesel yang diimport ke Malaysia hendaklah mesra penggunaan B20 ke atas bermula Januari 2020. Justeru, isu keselamatan dan prestasi kenderaan sewajarnya tidak lagi berbangkit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab persoalan dati Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Aminuddin Harun yang meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan sejauh manakah pelaksanaan biodiesel B15 dapat mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada diesel petroleum yang terdedah kepada ketidaktentuan harga akibat konflik geopolitik, khususnya di Asia Barat, serta apakah jaminan Kementerian bahawa penggunaan B15 tidak menjejaskan prestasi enjin, penggunaan bahan api, kos penyelenggaraan dan jangka hayat kenderaan diesel.

Mengulas lanjut, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menjelaskan adunan biodiesel B7 hingga B20 mematuhi Piawaian Malaysia MS 123-5:2020, yang menetapkan keperluan kualiti dan spesifikasi teknikal bahan api diesel.

“Pelaksanaan B20 di Langkawi, Labuan dan Sarawak (kecuali Bintulu) sejak tahun 2020 juga tidak menunjukkan sebarang laporan mengenai kerosakan enjin yang diterima oleh MPOB berkaitan penggunaan biodiesel B20.

“Pihak MPOB sentiasa menjalankan kajian dan ujian lapangan melibatkan pelbagai kategori kenderaan diesel, termasuk kenderaan penumpang, kenderaan komersial, bot-bot kegunaan sektor maritim dan peralatan industri serta memastikan pelaksanaan mandat B15 sentiasa dipantau dan dilaksanakan secara selamat berdasarkan bukti saintifik serta keperluan teknikal semasa,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO