Agong Perkenan Tujuh Akta Diluluskan Pada Sidang Parlimen Lepas
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan tujuh akta diluluskan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang berlangsung pada 22 Jun hingga 16 Julai lalu.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd. Nor berkata, akta berkenaan termasuk Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2026 dan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026.

Turut diperkenankan ialah Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 2026, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, Akta Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026, Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026.
Ramli memaklumkan perkara itu pada permulaan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang bersidang selama 37 hari mulai hari ini hingga 8 Disember depan.
Pada masa sama, beliau berkata antara urusan utama yang akan dibahaskan dan dipertimbangkan pada mesyuarat kali ini ialah Belanjawan 2027.
“Antara urusan penting yang akan dibahaskan dan dipertimbangkan dalam mesyuarat ini ialah Belanjawan 2027 yang mana pembentangan bacaan keduanya diawalkan pada 3.30 petang Jumaat ini,” katanya.
Ramli berkata bagi minggu ini, Dewan Rakyat dijangka memberi fokus kepada penerangan mengenai penyata oleh pengerusi-pengerusi jawatankuasa pilihan, perbahasan usul mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 serta rang undang-undang.
Beliau berkata sebanyak tiga urusan penerangan oleh pengerusi jawatankuasa pilihan mengenai penyata jawatankuasa pilihan turut dibentangkan hari ini.
Sementara itu, Ramli bagi pihak Parlimen Malaysia turut menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 28 Sept lepas. – Bernama
