Mahasiswa Perlu Perkasa Ilmu Dan Kemahiran – Ahmad Maslan

SHAH ALAM, 5 Okt – Mahasiswa tidak perlu menunggu sehingga bergelar pemimpin untuk mula memainkan peranan sebagai pemimpin dalam masyarakat, sebaliknya perlu membina keupayaan diri sejak di bangku universiti.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, mahasiswa perlu membentuk naratif yang jelas, benar dan memberi manfaat kepada masyarakat, bukannya sekadar menjadi golongan yang lantang bersuara.

“Mahasiswa tidak perlu menunggu menjadi pemimpin untuk memimpin. Naratif yang kuat bukan yang paling lantang, tetapi yang paling jelas, benar dan berguna.

“Malaysia memerlukan generasi yang bukan sahaja pandai mengkritik masalah, tetapi mahir membina penyelesaian.

“Pelajar perlu menyediakan diri untuk menjadi lebih ‘versatile’ supaya ilmu dalam bentuk ijazah yang diperolehi boleh menjamin pekerjaaan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam, pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Canselor UiTM Datuk Ts Dr Shahrin Sahib; Timbalan Naib Canselor Prof Dr Mohd Sazli Sahibi serta peserta-peserta seminar.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan, pembangunan sahsiah diri tidak boleh dipisahkan daripada pembentukan mahasiswa kerana ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk ekonomi, kebudayaan, pentadbiran, politik dan pembangunan masyarakat.

“Pembangunan sahsiah diri sangat penting kepada setiap mahasiswa dan ia meliputi pembangunan ekonomi, pembangunan kebudayaan, pembangunan pentadbiran, pembangunan politik dan serba yang lain dalam aktiviti hidup manusia.

“Di dalam pembangunan masyarakat terdapat suatu teori barat yang dikenali sebagai The Theory of Needs. Teori ini menyebut tentang kepentingan setiap individu memiliki keperluan asas untuk kehidupan dari sudut fizikal dan psikologi,” katanya lagi.

Tambah beliau, penguasaan pemikiran kritis pula amat penting bagi membentuk budaya inovasi yang mampu menghasilkan produk dan perkhidmatan lebih cekap, berkualiti serta berkesan.

“Kemahiran mengurus kewangan juga penting supaya mahasiswa tidak terperangkap dalam masalah kewangan yang serius apabila memasuki alam pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO