Perkukuh Kefahaman Isu Semasa – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Jentera Penerangan UMNO di semua peringkat bahagian perlu memperkukuh kefahaman terhadap isu-isu semasa bagi memastikan setiap perkara yang timbul dapat dijelaskan dengan tepat kepada akar umbi.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, perkara itu penting memandangkan banyak isu semasa yang memerlukan penjelasan berdasarkan maklumat dan kefahaman yang tepat.

Beliau berkata, jentera penerangan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan maklumat berkaitan isu semasa, termasuk perkara melibatkan Perlembagaan Persekutuan, dapat diterangkan kepada akar umbi.

“Banyak isu-isu semasa yang tidak boleh kita jelaskan kerana kita kurang ‘information’. Saya rasa adalah satu tanggungjawab di peringkat penerangan untuk kita perjelaskan di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan, yang menghimpunkan ketua-ketua penerangan UMNO bahagian di Wilayah Persekutuan, malam tadi.

Menurut Gulam Muszaffar, Wilayah Persekutuan menjadi lokasi kedua selepas Melaka bagi siri jelajah berkenaan, dengan penganjuran program itu turut mengambil kira keperluan membincangkan beberapa isu berkaitan Perlembagaan.

Katanya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah isu pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai kaitan dengan Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua ketua penerangan yang hadir memanfaatkan sepenuhnya sesi berkenaan dengan mengumpul sebanyak mungkin ilmu dan maklumat untuk disampaikan semula di peringkat bahagian masing-masing.

Dalam pada itu, Gulam Muszaffar turut merakamkan penghargaan kepada semua ketua penerangan UMNO bahagian atas komitmen menjayakan program berkenaan.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said, Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan pimpinan lain.

Gulam seterusnya berharap sesi penerangan dan jelajah berkenaan dapat memperkukuh peranan jentera penerangan UMNO dalam menyampaikan maklumat serta penjelasan yang tepat kepada akar umbi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO