Terjemah BN Sayang Rakyat, Pemuda UMNO Masjid Tanah Turun Padang
MASJID TANAH, 2 Okt – Semangat kebersamaan bersama rakyat terus menjadi keutamaan Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah apabila ketuanya, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, turun padang menyantuni komuniti anak muda menerusi program pelepasan Geng Honda EX-5 ke Gong Badak, petang tadi.
Abdul Hakim bersama sahabat-sahabat Pemuda di sini hadir memberikan sokongan kepada peserta konvoi yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemesraan.
Beliau berkata, penglibatan dalam aktiviti masyarakat seperti itu penting bagi memastikan hubungan antara pemimpin, anak muda dan komuniti terus rapat serta tidak terputus.
“Kita mahu Pemuda UMNO sentiasa dekat dengan rakyat. Hal ini bukan hanya dilaksana ketika musim pilihan raya, tetapi sepanjang masa. Kita mahu turun padang, beramah mesra dan bersama masyarakat dalam pelbagai aktiviti,” katanya.

Menurut Abdul Hakim, golongan muda mempunyai peranan penting dalam membentuk masa depan masyarakat dan negeri, justeru suara serta pandangan mereka perlu sentiasa diberikan perhatian.
“Anak muda adalah aset penting. Mereka mempunyai tenaga, idea dan semangat. Sebab itu kita perlu berada bersama mereka dan membuka ruang untuk mereka terus aktif dalam aktiviti yang positif,” katanya.
Beliau berkata, semangat BN Sayang Rakyat perlu diterjemahkan melalui kehadiran dan tindakan yang konsisten, termasuk mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.
“BN sayang rakyat dan kita sedia bersama masyarakat. Kita sedia mendengar, sedia turun padang dan sedia memberikan sokongan. Bagi kita, rakyat bukan hanya ditemui ketika pilihan raya,” katanya.
Abdul Hakim turut menegaskan Pemuda UMNO Masjid Tanah akan terus menyokong program yang menghimpunkan komuniti serta memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan anak muda.
“Kita mahu terus bina hubungan yang baik dengan masyarakat. Bila kita dekat dengan rakyat, lebih mudah untuk kita memahami apa yang mereka perlukan dan apa yang mereka harapkan.
“Insya-Allah, kita akan terus bergerak. Pemuda sentiasa bersedia bersama dan kita mahu memastikan semangat kebersamaan ini terus hidup di semua peringkat khususnya di akar umbi,” katanya.
Program pelepasan konvoi berkenaan berlangsung dalam suasana meriah sebelum peserta meneruskan perjalanan menuju ke Gong Badak, sekali gus menjadi wadah mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti permotoran dan anak muda. – UMNO Online
