“Kalau Nak Buat Satu-satu Isu, Study-lah Elok-elok”

MELAKA, 1 Okt – “… kalau nak buat satu-satu isu, study-lah elok-elok. Kalau study, baru nampak cerdik.”

Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh yang membidas persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Dap, Khoo Poay Tiong berhubung peruntukan RM2.075 juta bagi Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembersihan Bersepadu Jejantas Tun Teja.

Akmal berkata, jumlah RM2.075 juta yang menjadi persoalan itu bukanlah peruntukan bagi kerja penyelenggaraan secara one-off, sebaliknya merupakan anggaran kos bagi tempoh kontrak selama tiga tahun.

Menurut beliau, jumlah berkenaan adalah berdasarkan skop kerja penyelenggaraan dan pembersihan yang ditetapkan, dan kerajaan hanya akan membuat bayaran berdasarkan kerja atau komponen yang benar-benar dilaksanakan.

“Bajet yang diluluskan adalah harga siling penyelenggaraan dan pembersihan bagi tempoh tiga tahun, bukannya bajet untuk one-off.

“Kalau mahu cut cost pun, anggarannya sekitar RM50,000 sebulan. Kalau sesuatu komponen itu tidak perlu diganti, maka tidak perlulah dibayar. Kerajaan hanya membayar perkara yang diselenggara atau diganti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persoalan Khoo yang sebelum ini meminta Kerajaan Negeri Melaka menjelaskan skop kerja, komponen penyelenggaraan, tempoh kontrak serta pecahan kos bagi tender berkenaan.

Akmal turut menjelaskan bahawa angka RM2.075 juta merupakan anggaran keseluruhan bagi kerja-kerja yang dirancang sepanjang tempoh tiga tahun, bukannya jumlah yang akan dibayar sekaligus.

“Kenapa letak RM2.075 juta? Sebab itu adalah anggaran untuk kerja selama tiga tahun. Maksudnya, kalau ada yang tidak perlu diselenggara, tidak perlu dibayar,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal berkata proses tender berkenaan juga telah melalui sistem tender dalam talian Kerajaan Negeri Melaka dan surat pelawaan telah dikeluarkan kepada kontraktor.

Justeru, beliau menolak dakwaan bahawa proses tersebut mempunyai kaitan dengan usaha meletakkan kroni seperti yang dipersoalkan.

“Sistem tender online Melaka sudah keluarkan tawaran kerja ini dan surat pelawaan kepada kontraktor. Tak ada dolak-dalik bahawa kita mahu letakkan kroni dan sebagainya,” katanya.

Akmal turut menggesa Khoo mendapatkan penjelasan daripada bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka, Allex Seah, yang menurutnya sebelum ini pernah memberikan pandangan positif terhadap kerja-kerja menaik taraf Jejantas Tun Teja.

“Kalau tidak faham, boleh tanya kawan kamu yang pernah menjadi Exco Kerajaan Melaka dahulu.

“Dia sewaktu dia jadi Exco dia juga puji kata bagus, jejantas dah dibaikpulih jadi ikon kepada pelancongan dan sebagainya. Jadi, kalau masih tidak faham, boleh tanya kepada dia sebab dia ada dalam Exco ketika kita rasmikan jejantas itu,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO