“Kerusi Boleh Ubah, Jawatan Boleh Tukar … Dengan Rakyat Jangan Putus”

MELAKA, 30 Sept – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan komitmennya untuk terus mendekati rakyat dan memahami denyut kehidupan mereka sebagai asas kepada tanggungjawab seorang pemimpin.

Menurut beliau, hubungan antara pemimpin dan rakyat tidak seharusnya terhad kepada program atau pentas rasmi, sebaliknya perlu dibina menerusi pertemuan secara langsung dalam kehidupan seharian.

“Tanpa rakyat, tiadalah saya sebagai pemimpin. Sebab itu, kalau mahu menjadi wakil rakyat, kita kena terlebih dahulu tahu menjadi rakyat. Duduk bersama mereka, makan bersama mereka, dengar cerita mereka dan rasai denyut kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya ketika berkongsi mengenai kunjungannya bersarapan di Kedai Anuar, Kampung Jeram, pagi tadi, yang disifatkan sebagai antara ruang untuk beliau berinteraksi secara santai bersama masyarakat.

“Saya tidak mahu rakyat hanya melihat pemimpin di pentas rasmi. Pemimpin mesti turun dari pentas, duduk di meja rakyat dan berjalan bersama mereka.

“Kerusi boleh berubah, jawatan boleh bertukar, tetapi hubungan dengan rakyat jangan pernah terputus. Saya dan rakyat, bukan sekadar bersama, tetapi berpisah tiada,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Ab Rauf menekankan usaha memperkemas gerak kerja, menyusun kekuatan serta memastikan jentera parti bersedia menghadapi PRN akan datang.

“PRN bukan sekadar soal angka. PRN adalah soal kekuatan akar umbi, kesatuan hati dan kesungguhan kita untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan seluruh jentera bergerak secara tersusun dan sepasukan, selain terus turun ke akar umbi bagi mendengar suara masyarakat.

“Saya mahu seluruh jentera bergerak satu pasukan, satu rentak dan satu semangat. Turun ke akar umbi, santuni rakyat, dengar suara mereka dan pastikan setiap denyut nadi perjuangan sampai ke setiap ceruk kampung,” katanya mengulas berkaitan Mesyuarat UMNO Bahagian Masjid Tanah bersama barisan kepimpinan bahagian yang diadakan malam tadi.

Beliau berkata pertemuan itu turut melibatkan Ketua-Ketua UMNO Cawangan dengan mengingatkan jentera supaya tidak leka dan terus memperkukuh persediaan menghadapi PRN Melaka.

“Kita tidak boleh leka. Kita tidak boleh longgar. Sekarang masa untuk kita bergerak!” katanya.

Menurut beliau, kekuatan jentera yang tersusun, semangat yang berterusan serta komitmen terhadap perjuangan menjadi antara asas dalam menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.

“Insya-Allah, dengan kekuatan jentera yang tersusun, semangat yang tidak pernah luntur dan kesetiaan kepada perjuangan, kita hadapi PRN ini dengan penuh keyakinan dan disiplin,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO