Kemelut Negeri Sembilan: Kembalilah Kepada Punca, Hormati Rekod Dan Mandat Rakyat
SEREMBAN, 30 Sept – UMNO Negeri Sembilan menggesa semua pihak melihat kembali keseluruhan rentetan peristiwa yang membawa kepada kemelut institusi dan pentadbiran negeri sebelum membuat sebarang kesimpulan terhadap kerajaan yang sedang mentadbir hari ini.
Ketua Penerangannya, Muhammad Sufian Maradzi berkata, perkara tersebut penting supaya perkembangan yang berlaku tidak ditafsir secara terpilih sehingga mengabaikan punca dan peristiwa yang menjadi asas kepada kemelut berkenaan.

Menurut beliau, antara perkara fundamental yang perlu diperjelaskan ialah Minit Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April 2026, susulan kedudukan Undang Luak Sungei Ujong yang dikatakan telah diputuskan secara kolektif pada ketika itu.
“Persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU 17 April 2026 kekal fundamental. Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?
“Sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perkara berkenaan turut menjadi persoalan apabila keputusan tersebut kemudiannya dipertikaikan oleh pihak-pihak yang hadir, termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Justeru, katanya, adalah tidak wajar untuk membicarakan kesan kemelut hari ini tanpa melihat bagaimana kemelut tersebut bermula.
“Jangan sampai berlaku keadaan baling batu sembunyi tangan, sedangkan pentadbiran hari ini sedang berhadapan dengan pertikaian yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” katanya.

Mengulas pendirian UMNO/BN terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, Muhammad Sufian berkata pertikaian tersebut menjadi antara asas kepada hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan berkenaan.
Katanya, pendirian itu bukan merupakan penolakan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan, sebaliknya berkaitan cara krisis institusi dan pentadbiran negeri dikendalikan ketika itu.
Beliau turut mengingatkan bahawa apabila penyelesaian politik tidak dicapai, keputusan untuk membubarkan DUN dan mengembalikan mandat kepada rakyat telah dibuat.
“Pilihan raya telah berlangsung, rakyat telah membuat keputusan dan sebuah kerajaan baharu telah dibentuk melalui proses demokrasi yang sah. Mandat tersebut wajib dihormati sebagaimana semua pihak sebelum ini menuntut supaya kehendak rakyat dihormati,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sufian berkata Kerajaan Negeri hari ini perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan kemelut berkenaan secara tertib, berperlembagaan dan penuh adab.
Katanya, perkara yang menyentuh institusi diraja, adat dan struktur pemerintahan Negeri Sembilan tidak seharusnya dijadikan medan untuk mencipta tekanan politik atau mendahului proses yang sedang berjalan.
“Jika benar-benar mahu melihat kemelut ini diselesaikan, maka mulakan dengan persoalan yang masih menjadi asas kepada keseluruhan krisis.
“Pihak yang sedang dalam pertikaian menuntut dokumen tersebut dan Kerajaan sebelum ini gagal menyelesaikan perkara itu dengan tertib dan beradab.
“Jangan memilih hanya sebahagian daripada naratif yang sesuai dengan kepentingan politik semasa,” tegasnya.
Beliau berkata rakyat juga wajar melihat rentetan peristiwa yang berlaku bermula pada zaman pentadbiran kerajaan pimpinan PKR dan bagaimana keadaan tersebut akhirnya membawa kepada kemelut yang berlaku hari ini.
“UMNO Negeri Sembilan menyeru rakyat agar melihat rentetan peristiwa yang berlaku bermula di zaman pentadbiran Kerajaan pimpinan PKR dan bagaimana kita sampai ke tahap ini sebelum meletakkan kesalahan terhadap kerajaan yang kini sedang berusaha menyelesaikannya,” katanya.
Muhammad Sufian berkata, Kerajaan Negeri hari ini memikul tanggungjawab berat untuk menyelesaikan kemelut yang diwarisi dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah dan bidang kuasa institusi-institusi yang sah.
“Semua pihak wajib menjaga bahasa dan tindakan supaya tidak mendahului proses tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online
