Malaysia-Nigeria Perkukuh Hubungan Perdagangan, Pelaburan – Johari

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Malaysia dan Nigeria terus berusaha memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan, termasuk menerusi cadangan misi perdagangan antara kedua-dua negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Nigeria ke Malaysia, yang turut menyentuh usaha meneruskan hubungan erat Malaysia-Nigeria yang terjalin sejak pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kami membincangkan usaha memperkukuh kembali hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia–Nigeria, meneruskan hubungan erat yang terjalin sejak pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut beliau yang juga Naib Presiden UMNO, antara perkara yang turut dibincangkan ialah cadangan misi perdagangan Malaysia ke Nigeria, selain hasrat Menteri Nigeria yang bertanggungjawab terhadap perdagangan dan pelaburan untuk mengetuai misi perdagangan ke Malaysia.

Johari turut menghargai penyertaan Nigeria dalam Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), termasuk penglibatan media negara berkenaan dalam memperluas liputan acara tersebut kepada masyarakat Nigeria.

Beliau berkata Nigeria merupakan pasaran penting yang perlu diberikan perhatian oleh perniagaan Malaysia, selain mempunyai potensi besar untuk memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara.

“Nigeria merupakan pasaran penting yang perlu diberikan perhatian oleh perniagaan Malaysia. Saya melihat potensi besar untuk memperkukuh hubungan ini, di samping memperluas akses produk dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran Afrika melalui kerjasama yang lebih rapat antara komuniti perniagaan.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO