Khaled Nordin Perkukuh Komitmen Malaysia Terhadap Kemanusiaan dan Keamanan

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, meneruskan yang dalam rangka lawatan ke Lubnan menzahirkan komitmen Malaysia dalam menyokong usaha kemanusiaan, kebajikan dan keamanan di negara berkenaan.

Semasa berada di Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, beliau yang juga Naib Presiden UMNO menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan peralatan perubatan dan alat pemadam api daripada Batalion Malaysia (MALBATT) kepada Civil Defense Lubnan.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Civil Defense Lubnan yang diwakili oleh Brigadier General Imad Khreich, General Director of Civil Defense.

“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia dalam menyokong kebajikan, bantuan kemanusiaan dan keamanan di Lubnan. Kita berharap segala peralatan yang disumbangkan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak Civil Defense Lubnan,” kata Mohamed Khaled menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut beliau, sumbangan berkenaan turut mencerminkan peranan anggota MALBATT dalam memberikan manfaat kepada masyarakat setempat sepanjang penugasan mereka di Lubnan.

Dalam kunjungan sama, Mohamed Khaled turut merasmikan Mini-Gym sumbangan MALBATT kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sebagai salah satu peninggalan pasukan berkenaan sepanjang penugasan mereka di negara itu.

“Saya berharap Mini-Gym ini dapat menjadi kemudahan yang bermanfaat kepada warga Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, selain menjadi salah satu peninggalan yang melambangkan sumbangan MALBATT sepanjang berada di Lubnan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO