PRN Melaka: Puteri UMNO Melaka Dalam ‘Mode Ready’

MELAKA, 29 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Melaka berada dalam keadaan ‘mode ready’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan kesiapsiagaan jentera di semua enam bahagian negeri itu berada pada tahap optimum.

Ketuanya, Nurul Amirah Mohd Yusuf berkata, persiapan menghadapi PRN sudah digerakkan lebih awal menerusi gerak kerja di peringkat bahagian termasuk sesi pertemuan dan penyelarasan bersama seluruh kepimpinan Puteri UMNO.

Katanya, keenam-enam bahagian Puteri UMNO Melaka kini bukan lagi sekadar berada dalam keadaan ‘standby’, sebaliknya sentiasa bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Puteri UMNO Negeri Melaka berada dalam ‘mode ready’ bagi PRN Melaka. Sebelum ini kita telah pun bergerak di bahagian-bahagian dan mengadakan sesi pertemuan bersama seluruh bahagian Puteri UMNO.

“Di peringkat Puteri bahagian sendiri, keenam-enam bahagian ini berada dalam keadaan sentiasa bersedia dan siap siaga, bukan lagi ‘standby mode’,” katanya kepada UMNO Online.

Nurul Amirah berkata, Puteri UMNO Melaka turut membawa suara ‘geng biru’ sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesatuan jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRN.

“Dalam PRN kali ini, kami membawa suara geng biru di Negeri Melaka. Kami mengalu-alukan dan melihat kesinambungan bersama seluruh jentera di bahagian mahupun jentera BN untuk membawa satu wadah, iaitu membirukan Negeri Melaka.

“Puteri UMNO Melaka turut mengalu-alukan bantuan dan kerjasama daripada jentera negeri angkat yang bakal bertugas bersama mereka sepanjang tempoh PRN. sokongan tersebut akan memperkukuh kekuatan jentera Puteri di keenam-enam bahagian sekali gus membantu menggerakkan gelombang biru bagi mempertahankan Melaka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Nurul Amirah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah menjelaskan, gagasan yang diketengahkan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, jelas memberi ruang kepada golongan muda untuk terus terlibat dalam agenda pembangunan dan masa depan Melaka.

“Gagasan yang dibawa oleh Ketua Menteri Melaka berkaitan ‘Melaka Sayang Rakyat’ ini benar-benar memberi inspirasi dan membawa suara orang muda. Puteri UMNO di seluruh bahagian Melaka amat mengharapkan agar aspirasi orang muda sentiasa dibawa ke hadapan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, Karnival Orang Muda Negeri Melaka yang diadakan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 100,000 anak muda membuktikan golongan muda mempunyai minat dan kesediaan untuk bersama-sama dalam agenda pembangunan negeri.

“Kita melihat sendiri kehadiran anak muda yang begitu ramai, mencecah lebih 100,000 orang. Ini satu pencapaian yang cukup baik dan menunjukkan sambutan serta penerimaan anak muda terhadap inisiatif yang dibawa kerajaan negeri.

“Kita berharap kerajaan negeri dan kepimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dapat terus dikekalkan momentumnya, khususnya dalam membawa agenda yang memberi manfaat kepada orang muda,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO