Jentera BN Asahan Digerakkan, Perkasa Kekuatan Parti
ALOR GAJAH, 24 Sept – Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, mula digerakkan bagi memperkukuh persiapan parti di kawasan berkenaan menjelan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, perkara itu susulan pelancaran jentera BN N.10 DUN Asahan yang disempurnakannya malam tadi.

Beliau berkata, seluruh kekuatan jentera parti akan digerakkan menerusi setiap cawangan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan pusat daerah mengundi bagi menghadapi persiapan seterusnya.
“Gendang telah dipalu, panji telah dikibarkan. Bermula esok, seluruh kekuatan jentera akan digerakkan dari setiap cawangan, PDM dan pusat daerah mengundi,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Fairul Nizam yang juga penyandang DUN Asahan turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan BN Alor Gajah serta penyokong yang hadir pada majlis berkenaan.
Menurutnya, kesatuan, kerja keras dan sokongan rakyat menjadi antara perkara yang akan diberi perhatian dalam usaha BN mempertahankan kedudukannya di DUN Asahan.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dalam usaha BN mempertahankan pentadbiran negeri itu.
“Ayuh kita bergerak sederap, melangkah seiring dan berjuang hingga ke garisan penamat,” katanya lagi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam, bagi memberi laluan kepada proses PRN ke-16. Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan perkara itu pada sidang media di Seri Negeripada Selasa. – UMNO Online
